Halaman

01 February 2013

Kos RM20 juta untuk kerja-kerja tanah Kuala Nerus

Oleh: Suriati Ali



Pembangunan daerah baru Kuala Nerus di tapak seluas 200 hektar di Gong Badak, Kuala Terengganu mula dilaksanakan dengan kerja-kerja tanah yang membabitkan kos dianggarkan berjumlah RM20 juta.



 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, peringkat pertama di kawasan seluas 100 hektar melibatkan kerja-kerja pembinaan tapak bangunan, sistem perparitan dan kolam takungan serta jaringan jalan raya.



 Menurutnya, ia bakal menjadi model pembangunan contoh yang tersusun, mesra alam dan reka bentuk bandar masa depan dengan infrastruktur terbaik seperti jalan enam lorong dan lanskap ‘bandar dalam taman’.

 “Pembangunan bandar ini mengambil kira fungsinya sebelum ini sebagai kawasan paya dan tadahan banjir dengan sistem perparitan dan kolam takungan ditukar menjadi kawasan riadah dan rekreasi,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Kuala Nerus, di Pekan Batu Enam, Kuala Terengganu, hari ini.

 Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri serta Ahli Exco Kerajaan Negeri iaitu Dato’ Abdul Rahin Mohd Said dan Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman.

 Hampir 8,000 peserta membabitkan 145 pasukan menyertai perarakan yang sejauh kira-kira dua kilometer iaitu bermula dari padang Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal dan berakhir di Pekan Batu Enam.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, pembinaan pusat bandar daerah kelapan itu tidak melibatkan pengambilan balik tanah kecuali untuk pembinaan dan pembesaran tiga laluan masuk ke pusat bandar berkenaan.



 “Peruntukan untuk membina bangunan-bangunan baru seperti pejabat daerah, pejabat tanah, pejabat agama daerah dan sebagainya seperti yang ada di daerah lain masih dalam perbincangan,” katanya.

 Kuala Nerus yang terletak di kawasan Kuala Terengganu Utara membangun dengan pesat dengan kedudukannya sebagai tapak institusi pengajian tinggi dan institut kemahiran serta industri di samping wujudnya banyak projek perumahan.