Halaman

27 February 2013

KTNZ terima ‘pontoon’ bernilai RM694,000

Oleh: Noraini Jusoh

Kompleks Tuanku Nur Zahirah (KTNZ) secara rasmi telah menerima ‘pontoon’ atau pelantar terapung yang bernilai RM694,000 oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam satu majlis ringkas, di kompleks terbabit yang terletak di Tanjung Bunut, Manir, hari ini.


Majlis penyerahan ‘pontoon’ dilakukan oleh Penolong Jurutera, Kamarudin Alwi yang mewakili Jurutera Daerah JKR Kuala Terengganu, Haji Md Zaid Ali dengan memberikan dokumen penyerahan kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, Haji Azmi Razik.

Kamarudin berkata, projek pembinaan ‘pontoon’ di jeti KTNZ bermula pada 29 Oktober tahun lalu dan siap sepenuhnya pada 31 Disember.

"Pembinaan ‘pontoon’ yang terapung dan bersifat mesra pengguna ini dilaksanakan bagi menjamin keselesaan pengguna terutamanya yang menggunakan pengangkutan air untuk ke kompleks ini.

"Dengan adanya ‘pontoon’ ini juga akan memudahkan aktiviti keluar masuk bot ke jeti KTNZ,” ujarnya.

Sementara itu, Azmi berkata, kewujudan ‘pontoon’ juga dapat memperkukuh KTNZ supaya lebih menarik dengan membuka peluang kepada pelancong untuk datang ke kompleks tersebut melalui jalan sungai samada mengunakan khidmat ‘River Cruise’ yang disediakan Taman Tamadun Islam atau bot-bot persendirian.

Kompleks yang dibangunkan YPU itu merupakan pusat utama rujukan, pameran, demonstrasi, bimbingan rekaan dan penyelidikan pembangunan fabrik berasaskan songket.