Halaman

02 February 2013

Pakaian ala Arab bawa tuah

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pakaian ala Arab yang dipakai oleh kontinjen Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong semasa menyertai perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Parlimen Hulu Terengganu, kelmarin, membawa tuah apabila mereka dinobatkan sebagai johan kategori Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).



Kemenangan itu membolehkan kontinjen DUN Telemong pulang dengan membawa wang tunai RM3,000.

Golongan lelaki yang menyertai kontinjen itu memakai jubah dan berserban ala orang Arab manakala wanita pula memakai purdah dan jubah berwarna hitam, mencuri perhatian orang ramai yang menyaksikan perarakan tersebut.


Tempat kedua bagi kategori itu dimenangi kontinjen Persatuan Guru Kafa Hulu Terengganu (hadiah wang tunai RM1,500) manakala tempat ketiga APMT Parlimen Hulu Terengganu (RM1,000).

Johan bagi kategori JKKK pula dimenangi JKKK Kampung Chapu manakala tempat kedua JKKK Kampung Kuala Pueh dan ketiga JKKK Kampung Jenagor.

Bagi kategori jabatan kerajaan, johan dimenangi pasukan Maidam, kedua Majlis Daerah Hulu Terengganu dan ketiga pasukan Bomba dan Penyelamat Daerah Hulu Terengganu.

Sekolah Menengah Imtiaz Hulu Terengganu muncul johan kategori sekolah menengah, naib johan SMK Ajil dan ketiga Sekolah Menengah Agama Mahmudiah.

Manakala SK Seri Berang diisytihar johan kategori sekolah rendah, kedua SK Peroh dan ketiga SK Bukit Gemuroh. Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menyampaikan hadiah kepada semua pemenang tersebut.