Halaman

19 February 2013

PASAR PAYANG BERBAHAYA DAN PERLU DIBINA SEMULA - JKR

Oleh: Ruslan Abdul Rahman- Pengarang Teganukita

Jabatan Kerja Raya (JKR) menjelaskan, sememangnya bangunan Pasar Payang (gambar) terutama di bahagian anjung yang berada di dalam sungai (sebelah penjual ikan dan sumber laut serta ayam dan daging), perlu dirombak dan bina semula.

Terdapat struktur binaan yang telah reput dan rosak dan boleh menyebabkan keruntuhan berlaku bila-bila masa terutamanya di bahagian bawah (dalam air).

Ia bukanlah kajian dan nasihat di peringkat JKR Negeri Terengganu tetapi oleh JKR Pusat dan telah pun membuat laporan secara bertulis kepada Kerajaan Negeri Terengganu sejak dua tahun lalu.

Demikian diberitahu oleh Timbalan Pengarah JKR Negeri (Pembangunan) Ir. Haji Abdul Manan Embong kepada Pengarang Teganukita hari ini.


Beliau berkata demikian bagi mengulas kekeliruan sesetengah pihak tentang status Pasar Payang yang sebenar. Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said sebelum ini telah memaklumkan bahawa Pasar Payang yang ada perlu dirombak dan dibina semua untuk tujuan keselamatan dan keselesaan peniaga dan orang ramai yang membeli-belah.

Pasar Payang yang merupakan pusat jualan pelbagai barangan tradisional terkenal di Terengganu bakal berubah wajah apabila ia digantikan dengan pasar baru empat tingkat yang berhawa dingin.

Dengan bentuk baru yang lebih selesa, ia akan boleh menarik lebih ramai pelancong lagi mengunjungi pasar itu.

Dan adalah tidak benar, kerajaan tidak akan membenar penjualan di situ, tetapi diberi tempat yang lebih selesa.

Selain itu, sebuah hotel bertaraf lima bintang setinggi 23 tingkat yang menyediakan 550 bilik dan apartment 30 tingkat akan turut dibina berhampiran Pasar Payang, tahun ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad, berkata bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan projek berkenaan dimulakan, semua peniaga di Pasar Payang akan dipindahkan ke tapak sementara di Pulau Warisan.

Bermakna tempat perpindahan perniagaan sementara juga disediakan, sehingga menunggu pembinaan baru Pasar Payang siap.

Namun terdapat pihak-pihak tertentu, khususnya pembangkang yang cuba meracuni pemikiran orang ramai dengan mengatakan kerajaan mahu merobohkan pusat perniagaan itu.

Dengan penjelasan yang dibuat oleh JKR sendiri, jelaslah bahawa ia bukan soal politik, tetapi membabitkan soal keselamatan dan keselesaan untuk orang ramai.

Tinjauan Teganukita mendapati keadaan pasar itu kotor dan air kotor melimpah menyebabkan orang ramai tidak selesa, terutama di bahagian pasar basah.

Pandangan yang menjijikan ini member imej yang amat tidak baik kepada negeri, terutamanya di mata pelancong.

Untuk pembangunan dan kebaikan, tidak dapat tidak kita perlu membuat perubahan dan tidak timbul soal hendak menghapuskan warisan, apatah lagi ia bakal dibina semula dengan bangunan yang lebih baik, selepas dirombak.

Di Arab Saudi pun, termasuk di Mekah dan Madinah pembangunan dilakukan untuk keselesaan, sekalipun melibatkan bangunan dan tempat bersejarah dalam Islam.

Misalnya dilaporkan rancangan pihak berkuasa Arab Saudi meruntuhkan salah satu daripada tiga buah masjid tertua di dunia yang menjadi mercu tanda kesayangan seluruh umat Islam, iaitu Masjid Nabawi di Madinah.

Projek pembangunan itu akan bermula sebaik saja musim haji tahun lalu.
Menurut laporan tersebut, kebanyakan kerja-kerja pembinaan bagi Masjid Nabawi akan dijalankan di kawasan barat masjid tersebut dan apabila siap nanti, dijangkakan ia akan mampu menempatkan manusia paling ramai di dunia iaitu seramai 1.6 juta orang jemaah.