Halaman

15 February 2013

Pelajar IQT johan hafazan peringkat negeri

Oleh: Aida Abd Rahman

Kelancaran dan ketepatan seorang pelajar Institut al-Quran Terengganu (IQT) memperdengarkan bacaan hafazan al-Quran bagi tahap satu hingga 30 juzuk berjaya memikat juri untuk muncul johan pertandingan Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Terengganu 2013/1434 Hijrah, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, malam tadi.

Pelajar berkenaan, Ikhwan Amin Hidayat (gambar), 19, dari Kampung Ladang, Kuala Terengganu mengumpul markah 99.38 peratus menewaskan peserta di tempat kedua, Mohd Izzat Mat Nor, 24, dari Institut Pengajian Islam Kuala Berang (99.08 peratus) dan ketiga, Ahmad Miqdad Mohd Abidin, 19, dari IQT (98.56 peratus).

Kemenangan tempat pertama anak sulung kepada pasangan Hidayat Mustafa, 45, dengan Kamariah Abdullah, 47, itu membolehkan membawa pulang wang tunai RM7,000 dan sijil penyertaan.



Sementara tempat kedua dan ketiga, masing-masing memenangi wang tunai RM5,000 dan RM4,000 beserta sijil penyertaan.

Manakala juara tahap satu hingga 30 juzuk bagi kategori wanita juga milik pelajar IQT, Nurul Syaabaniah Yahaya, 20 yang mengumpul markah 90.52 peratus.

Pelajar yang berasal dari Marang dan menyertai pertandingan hafazan peringkat negeri sejak lima tahun lalu terpilih untuk bergelar johan selepas menjadi satu-satunya peserta wanita yang berjaya ke peringkat akhir bagi tahap itu kali ini.

Johan bagi tahap satu hingga 10 juzuk kategori lelaki dan wanita juga milik pelajar IQT, iaitu Umar Basyir Mohd Nasir,18 ( 98.74 peratus) dan Asma’ Abdullah, 17 (97.71 peratus).

Sementara juara bagi tahap satu hingga 20 juzuk kategori lelaki pula dianugerahkan kepada Muhd Daud Deraman, 20 (IQT) yang mengumpul markah 98.78 peratus.



Kesemua pemenang menerima hadiah yang disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Kazan Che Mat dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Mohd Rozali Saleh.

Seramai 17 peserta layak menyertai Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Terengganu selepas 63 penyertaan diterima di peringkat saringan pada 5 hingga 7 Februari lalu.

Kesemua johan akan mewakili Terengganu ke Majlis Menghafaz al-Quran peringkat kebangsaan di Kompleks Tabung Haji Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 4 hingga 8 Mac ini.