Halaman

03 February 2013

Penyertaan 80,000 warga Terengganu meriahkan My Beautiful Malaysia

Oleh: Aida Abd Rahman

Kira-kira 80,000 penduduk Terengganu memeriahkan sambutan `My Beautiful Malaysia’ di lima lokasi tumpuan di seluruh negeri, bermula jam 8.30 pagi tadi.

Menteri Besar turut serta memeriahkan  Senaman 1 Malaysia bersama kira-kira  25,000 hadirin  yang hadir  di program ' My Beautuful Malaysia'  di Pantai Batu Buruk
Program yang tamat empat jam kemudian melibatkan lima pusat pelancongan iaitu Pantai Batu Buruk, Lagun Kuala Ibai dan Pantai Teluk Ketapang, Kuala Terengganu; Pengkalan Gawi, Hulu Terenganu serta Pantai Rhu Sepuluh, Setiu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata penyertaan kira-kira 80,000 peserta  membuktikan program itu berjaya mencapai sasaran penganjuran, selain mewujudkan semangat kesukarelawan di kalangan pelbagai lapisan masyarakat bagi memastikan persekitaran bersih dan indah.

“Terima kasih kepada warga Terengganu yang turut sama meraikan program `My Beautiful Malaysia’ yang dilancarkan serentak oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, di bawah Program Sukarelawan Belia (1Malaysia Untuk Belia) pada tahun ini.

 “Setiap negeri perlu sekurang-kurangnya melibatkan 50,000 peserta dan Terengganu sendiri dianggarkan lebih 80,000 turut sama menyertai majlis ini yang menunjukkan satu kejayaan besar menerusi pembabitan semua pihak bagi membersihkan semua kawasan yang dikenalpasti,” katanya di sidang media selepas melancarkan program itu, di Dataran Batu Burok.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek;Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Toh Chin Yaw dan pegawai kanan kerajaan negeri dan Pusat.

Dato’ Seri Haji Ahmad sebelum itu menyertai acara senam 1Malaysia, menanam pokok dan membersihkan persekitaran pantai.

Menteri Besar berkata, kebersihan menjadi indikator utama bagi menarik kedatangan pelancong ke Terengganu selaras dengan sambutan Tahun Melawat Terengganu tahun ini yang mensasarkan kehadiran empat juta pelancong dari dalam dan luar Terengganu.

Katanya, kerajaan negeri bukan sahaja memperuntukkan perbelanjaan yang besar bagi tujuan mengindah dan membersih seluruh kawasan perbandaran dan juga tumpuan pelancong, malah menggalakkan pembabitan seluruh masyarakat dengan menganjurkan pelbagai program dan kempen kebersihan.

“Kerajaan negeri juga membelanjakan sejumlah RM20 juta setahun bagi menjalankan kerja pembersihan kawasan longkang, memotong rumput dan jalan di seluruh Terengganu yang disalurkan menerusi Pihak Berkuasa Tempatan masing-masing.

 “Bagaimanapun, tahap kesedaran masyarakat masih rendah dan kerajaan berharap mulai hari ini, semua pihak saling bekerjasama dalam usaha memastikan tempat awam dan juga persekitaran sentiasa terjaga serta bersih dengan memastikan semua sampah di buang di tempat sepatutnya,” katanya.