Halaman

19 February 2013

Perkasa produk, merakyatkan pelancongan

(Bahagian Dua)


Sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, wartawan TEGANUKITA, Aida Abd Rahman mewawancara Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said bagi mengupas lebih lanjut mengenai persiapan dan hala tuju bagi menjayakan penganjuran itu. 


S: Apakah indikator yang menyokong kepada sasaran empat juta pelancong sepanjang TMT 2013 itu?

J: Sasaran empat juta itu dibuat berdasarkan peningkatan purata tahunan kedatangan pelancong ke negeri itu sebelum ini. Lazimnya peningkatan kedatangan pelancong ini adalah antara lima hingga 10 peratus setiap tahun dan kita yakin dengan promosi besar-besaran serta kerjasama yang melibatkan ramai penggiat dan agensi pelancongan, TMT 2013 bakal mencatat kenangan manis untuk industri pelancongan Terengganu.

Penganjuran TMT pada tahun 1997 dan 2008 telah merekodkan peningkatan kedatangan pelancong sebanyak 50.4 peratus (1997) dan 23 peratus (2008) berbanding tahun sebelumnya.

Sasaran peningkatan kedatangan pelancong itu juga sejajar dengan hala tuju Rancangan Pembangunan Pelancongan Negeri Terengganu (RPPNT) bagi tempoh 2009 hingga 2013 yang menekankan dua strategi utama yang lain iaitu memperkasakan produk pelancongan dan merakyatkan pelancongan.

S: Apa daya tarikan utama yang diketengahkan dalam menjayakan TMT 2013, selain bersandarkan keindahan pulau dan pantai yang menghadap Laut China Selatan?

J: Kombinasi lokaliti, destinasi, keindahan pulau, pantai dan hidupan laut yang sukar ditemui di tempat lain, selain gunung-ganang, keunikan Kuala Terengganu Bandar Raya Warisan Pesisir Air, pantai dan pulau, Tasik Kenyir, seni dan budaya, sejarah dan juga warisan, taman-taman rekreasi, hutan simpan dan air terjun, wetland dan penyu menjadi lapan kluster promosi yang diberi tumpuan.

Selain itu, turut menjadi fokus sukan air, sukan lasak, berkuda, sejarah, seni, agro, seni bina, budaya, pendidikan, kesihatan, inap desa dan persidangan. 

S: Tasik Kenyir merupakan ikon pelancongan negeri, selain pulau dan pantai yang menjadi sasaran utama pelancong ke negeri ini. Apakah usaha kerajaan untuk memastikan tasik buatan manusia itu akan terus dilimpahi pelawat?

 J: Tasik Kenyir yang mempunyai 340 pulau yang terbentuk daripada rabung bukit dan gunung, bakal menjadi medan penganjuran sembilan program pelancongan berkonsep kegiatan sukan, fotografi dan rekreasi sempena TMT.

Sepanjang TMT, Kerajaan Terengganu dan Ketengah berhasrat menonjolkan keindahan alam semula jadi tasik terbesar di Asia Tenggara yang merentasi 260,000 hektar itu supaya dapat diteroka sepenuhnya oleh pengunjung terutama pelancong luar, selain mereka dapat menimba pengalaman baru, sekali gus membantu mempopularkan destinasi terkemuka itu di negara asal mereka pula.

Daripada sembilan program yang bakal dilaksanakan termasuk pembuka tirai acara, Pertandingan Memancing Jelajah Tasik Kenyir yang melibatkan lima siri, iaitu pada 10 hingga 11 Februari, 8 hingga 9 Mac, 12 hingga 13 April, 13 hingga 14 September dan terakhir, pada 22 hingga 23 November 2013.

Selain itu, Tasik yang terbina hasil pembinaan Empangan Kenyir pada 1985 itu juga akan diadakan acara Kenyir Lake International Triathlon pada 10 Mac, diikuti Pertandingan Memancing 'Boat On The Road' pada April dan Festival Kenyir yang dijadualkan pada 16 hingga 20 Mei.

Seterusnya, Kejohanan Power Boat Kenyir, Kenyir Motocross Challenge, Pertandingan Raja Serama Tasik Kenyir sepanjang Jun, diikuti Pertandingan Melukis dan Fotografi Tasik Kenyir pada 1 hingga 31 Ogos sebelum diakhiri dengan acara Kenyir Cup pada penghujung tahun.

Usaha menambah baik kemudahan di Tasik Kenyir memberi impak amat baik apabila peningkatan pengunjung ke pulau itu meningkat ketara , melebihi 53 peratus kepada hampir 370,000 dari Januari hingga November tahun lalu, berbanding 241,412 orang dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Bukan sekadar menjadi syurga kaki pancing, kerajaan negeri mahu menjadikan tasik itu lokasi pelancongan keluarga bertaraf antarabangsa dengan mewujudkan Pulau Bebas Cukai dan Kenyir Islang Hoping (KIH) yang dilengkapi pelbagai infrastruktur yang menyokong pembangunan itu.

S: Adakah kerajaan negeri juga bersedia menerima kehadiran pengunjung khususnya dalam aspek penyediaan tempat penginapan yang mencukupi khususnya pada setiap kali acara teras berlangsung?

J: Bagi menampung jumlah kehadiran pengunjung tahun ini, jumlah bilik penginapan di seluruh Terengganu juga bertambah kepada 9,329 bilik yang melibatkan calet, pusat peranginan dan hotel.

Selain itu, terdapat beberapa tambahan bilik apabila terdapat dua hingga tiga hotel bertaraf tiga bintang akan dibuka pada tahun ini yang menjadikan jumlah keseluruhan 10,000 bilik untuk kemudahan penginapan pengunjung.

Sehubungan itu juga, pada TMT 2013 kita mensasarkan enam hari dan 5.5 hari sebagai purata hari penginapan pelancong asing dan domestik berada di negeri ini berbanding 4.8 hari dan 3.4 hari yang direkodkan pada TMT 2008.

Peningkatan purata hari penginapan itu juga dijjangka mendorong kepada peningkatan jumlah perbelanjaan setiap hari pelancong asing kepada RM500 dan pelancong tempatan kepada RM350 seorang, berbanding RM330 (pelancong asing) dan RM200 (pelancong tempatan) pada 2009.

Sasaran itu sejajar dengan hasrat untuk meningkatkan sumbangan sektor pelancongan kepada ekonomi negeri sebanyak 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar pada penghujung 2013.