Halaman

23 February 2013

Peteh sasar 500 peserta menjelang 2013

Oleh: Suriati Ali

 Akademi Bolasepak Peteh Kids Terengganu (Peteh Kids) mensasarkan 500 peserta menjelang penghujung 2013 dan akan diperkembangkan ke setiap daerah dalam usaha melahirkan lebih ramai pelapis muda khususnya bagi pasukan bola sepak di negeri ini.



 Pengarahnya, Wan Mohd Azmi Wan Ngah berkata usaha yang dilakukan itu mendapat kerjasama dan sokongan sepenuhnya daripada PBSNT sejajar dengan hasrat kerajaan egeri yang ingin menjadikan Terengganu sebagai pengeluar bakat sukan negara.

 “Selepas ini, mereka (peserta) yang berbakat dan memiliki potensi dalam sukan ini akan dihantar ke akademi MY Kid Negeri untuk digilap seterusnya ke peringkat nasional.

“Siapa tahu dalam tempoh 10 tahun akan datang ada dalam kalangan ahli Peteh Kids ini bakal mengharumkan nama Terengganu dan negara dalam sukan bola sepak,” katanya.

Difahamkan, Peteh Kids di bawah kendalian jurulatih Mohd Shafie Pak ini melibatkan penyertaan daripada beberapa daerah antaranya Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman dengan yuran keahlian sebanyak RM100 serta RM35 setiap bulan .

 Bermula dengan keahlian seramai 50 peserta pada April tahun lalu, kini ahli Akademi Bolasepak Peteh Kids Terengganu telah menjangkau lebih 200 orang dalam tempoh hampir setahun penubuhannya.

“Peningkatan melebih 200 peratus itu membuktikan perkembangan positif dalam pembangunan sukan bola sepak terutamanya melibatkan kanak-kanak di negeri ini.

 “Kesedaran itu timbul apabila ibu bapa kini mula menyedari bahawa bidang sukan bukan sahaja mampu menjadikan anak-anak mereka aktif dan cergas di sekolah malah boleh dijadikan sebagai kerjaya pada masa akan dating,” katanya.

Katanya, penubuhan Peteh Kids ini merupakan inisiatif kami dalam memberikan bimbingan kepada kanak-kanak yang cenderong kepada sukan bola sepak untuk diketengahkan bakat mereka.

 “Buat masa ini kita mempunyai lebih 200 peserta melibatkan kanak-kanak sekolah rendah yang berumur antara 6 hingga 11 tahun dan mereka akan didedahkan dengan latihan asas bola sepak di bawah bimbingan jurulatih yang bertauliah,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Akademi Bolasepak Peteh Kids yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di padang Sekolah Kebangsaan Seri Budiman, Kuala Terengganu, semalam.

 Hadir sama, Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh, Pengarah Urusan GLE Centre Enterprise (Kopi Super Jantan), Mohd Zulkifli Harun selaku penaja rasmi Peteh Kids dan pengurusan serta pemain pasukan Terengganu.