Halaman

12 February 2013

PSY puji Perdana Menteri

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Penyanyi terkenal Korea Selatan, PSY yang baru saja membuat persembahan di negara ini, turut memuji kehebatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Penyanyi lagu popular Oppa Gangnam Style yang digilai masyarakat seluruh dunia itu telah menghantar tweet mesej kepada Perdana Menteri yang berbunyi “U were horter than weather, hotter than ever!! One Malaysia!! (Anda lebih hangat daripada cuaca, lebih hangat daripada biasa!! Satu Malayia!!).

Ini bermakna dalam kesibukan membuat persembahan di seluruh dunia, penyanyi tersebut masih berpeluang mendapatkan maklumat mengenai Dato’ Seri Mohd Najib dan mengkagumi ketokohan beliau sebagai Perdana Menteri.

Tentunya, sebelum datang ke negara ini PSY atau nama sebenarnya Park Jae Sang, sudah dikhabarkan bahawa Dato’ Seri Najib merupakan pemimpin yang berwibawa dan berjaya membawa perubahan besar kepada negara ini melalui program transformasinya.

Justeru itu, setelah melihat sambutan hangat yang diberikan rakyat kepada Perdana Menteri yang turut hadir menyaksikan persembahannya di Pulau Pinang, PSY menghantar mesej tersebut kepada Dato’ Seri Mohd Najib, bagi melahirkan kekagumannya kepada Perdana Menteri, secara ikhlas.

Pujian penyanyi sensasi dunia itu terhadap Perdana Menteri, sepatutnya menjadi kebanggaan bagi seluruh rakyat Malaysia kerana amat jarang pemimpin negara lain yang mendapat pujian seumpama itu.

Kita semua maklum bahawa rakyat Korea masih lagi memegang kuat tradisi timur dan masih terikat dengan tata susila.

Justeru itu, bila mereka lihat seseorang yang dikagumi, mereka tidak segan silu untuk memujinya sebagai tanda hormat.

Kehebatan Perdana Menteri menerajui negara memang sentiasa mendapat pujian masyarakat luar negara, cuma puak-puak pembangkang saja yang tidak tahu menghargainya.

Sebagai rakyat yang bijaksana dan berfikiran waras, kita semua perlu menghargai jasa-jasa yang telah dicurahkan oleh Dato’ Seri Mohd Najib setelah hampir lima tahun mengetuai pentadbiran negara.

Kita semua perlu memberi sokongan kepada Perdana Menteri dan saf kepimpinan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan BN menang dengan majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum kali ini.