Halaman

06 February 2013

SKM sasar daftar 600 koperasi

Oleh: Suriati Ali dan Aida Abd Rahman

 Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Terengganu mensasarkan sebanyak 600 koperasi dapat didaftarkan di seluruh negeri sehingga akhir tahun ini.

 Pengarah suruhanjaya itu Wan Mohd Sabri Wan Harun berkata, kira-kira RM318 juta modal pusingan dijangka dapat dikumpulkan dan mampu menjana keuntungan sebanyak RM20 juta dalam tempoh berkenaan.

Ahli Komedia sedang mendengar taklimat dan penerangan pengarah SKM

Katanya, sebahagian besar koperasi baru yang akan diaftarkan itu membabitkan koperasi masjid, iaitu sekurang-kurangnya 50 buah dapat didaftarkan pada tahun ini.

“Sehingga akhir tahun lalu sebanyak 523 koperasi telah didaftarkan dengan keahlian seramai 235,000 dan modal terkumpul sebanyak RM303 juta.

``Koperasi berkenaan mampu menjana keuntungan sebanyak RM18 juta pada tahun lalu, manakala modal saham terkumpul ialah sebanyak RM96 juta,’’ katanya.

 Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Permulaan Koperasi Media Terengganu Berhad (Komedia) di Hotel Tanjung Vista, Kuala Terengganu, malam tadi.


Pengarah SKM..Encik Mohd Sabri..

 Hadir sama Presiden Kelab Wartwan Terengganu (Kawat), Ayob Mamat. Mohd Sabri berkata, daripada jumlah koperasi yang berdaftar itu 15 buah dikategorikan koperasi yang berskala besar, 24 buah separa besar dan selebihnya adalah berskala sederhana dan kecil.

 Beliau menambah, daripada jumlah koperasi berdaftar itu, dikenalpasti kira-kira 10 peratus koperasi tidak aktif dan gagal melaksanakan aktiviti dengan baik.

 ``Sebahagian besar dikenal pasti berpunca daripada masalah modal dan usaha pemulihan sedang dilakukan untuk memastikan ia bergerak aktif,’’ katanya.

Beliau memuji Koperasi Adik Kakak (KODIKA) Pulau Rusa yang cukup cemerlang dalam mengendalikan pelbagai aktiviti dan mampu menyediakan pinjaman kepada ahli tanpa menghadapi masalah untuk pembayaran balik.

Katanya, SKM ada menyediakan kemudahan pinjaman untuk membantu koperasi termasuk pinjaman tanpa cagaran tidak melebihi RM50,000 dan pinjaman RM1 juta dikenakan faedah dua peratus, manakala RM10 juta dengan faedah dan cagaran,

Mengenai koperasi media beliau berharap KOMEDIA dapat bergerak aktif bersama koperasi lain untuk sama-sama menyumbang kepada KDNK negeri sebanyak 10 peratus menjelang tahun 2020.