Halaman

14 February 2013

Tambahan tanah 240 hektar bangunkan Eastern Steel

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri bersetuju meluluskan tanah tambahan seluas 240 hektar bagi membangunkan projek kilang besi, Eastern Steel di kawasan Perindustrian Teluk Kalong, Kemaman.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata tambahan itu menjadikan keseluruhan tanah bagi projek pembangunan kilang fasa kedua yang dijangka siap pada Oktober ini berjumlah 480 hektar.

“Sekarang ini bagi fasa pertama sedang berjalan 240 hektar melibatkan kerja memasang cerucuk besi bangunan serta tambahan lagi 240 hektar yang menjadikan jumlah keseluruhan 480 hektar.

“Projek pembinaan ini melibatkan beberapa peringkat dengan pelaburan asal dicadangkan berjumlah RM3.8 bilion, “katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Menteri Besar menjelaskan yang beliau turut meninjau perkembangan projek itu beberapa hari lalu dan melihat kerja-kerja memasang struktur bangunan kilang itu sedang giat dilaksanakan.

Kilang yang dibangunkan secara berperingkat menerusi syarikat tempatan, Hiap Teck Venture Bhd dan China Shougang Group dijangka berupaya menghasilkan pengeluaran tahunan 700,000 tan metrik keluli.

Penghasilan keluli berkualiti tinggi mengguna teknologi relau bagas dijangka mampu menampung pasaran-pasaran hiliran dan juga serantau.