Halaman

22 February 2013

Tuah Azlan daftar saat akhir

Oleh: Aida Abd Rahman

Pendaftaran saat-saat akhir bagi menyertai pertandingan memancing membawa tuah kepada seorang nelayan di Marang apabila membawa pulang hadiah cabutan bertuah utama berupa sebuah motosikal Modenas Kriss bernilai lebih RM5,000 sempena Karnival Pancing Ikan Darat Terbuka 1Malaysia Mesra Rakyat, di Kampung Gong Baru Gong Tok Nasek, hari ini.



Mohd Azlan Salleh, 37, dari Kampung Seberang Marang yang sudah sepuluh kali menyertai pertandingan memancing anjuran Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) berkenaan tidak menduga penyertaan kali ini menyebelahinya untuk membawa pulang hadiah utama.

“Saya terkejut apabila empat angka pada cabutan bertuah yang diumumkan pengacara majlis satu persatumenepati nombor saya `4577’. Malah, saya tiba di tapak program dan mendaftar pada saat-saat akhir ketika masa pertandingan hanya berbaki enam minit sahaja lagi sbelum bermula.

"Nampaknya tahun ini rezeki memihak kepada saya untuk membawa pulang motosikal ini. Hadiah ini menambah kenderaan yang saya miliki kini dan saya berhasrat menghadiahkannya kepada isteri saya, Wan Rohaya Yaakob, 29  untuk kegunaan sehariannya,” kata bapa kepada empat cahayamata itu.

Program anjuran JKKK Kampung Gong Baru Gong Tok Nasek di parit kampung itu dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Menteri Besar turut menyampaikan hadiah cabutan bertuah dan pemenang pertandingan memancing berkenaan.

Program yang bermula dari jam 9 pagi dan berakhir sembilan jam kemudian turut menyediakan pelbagai acara menarik termasuk teka biji betik, pameran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan pemeriksaan kesihatan percuma.