Halaman

13 February 2013

Warga emas bersyukur terima BR1M 2.0

Oleh: Noraini Jusoh

"Saya sangat bersyukur kerana menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 lebih awal berbanding orang lain,” kata Selema Ahmad, 70.

Selema, dari Kampung Gemuroh antara salah seorang penerima BR1M 2.0 fasa pertama bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh yang mula diagihkan, hari ini.

Warga emas yang pernah menerima BR1M pada tahun lepas itu tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno yang sentiasa prihatin terhadap nasib warga emas sepertinya.

"Terima kasih kepada kerajaan yang cukup baik terhadap rakyatnya dan saya sangat bersyukur kerana terpilih untuk menerima sumbangan ini untuk dua tahun berturut-turut.

"Wang RM500 ini akan digunakan untuk perbelanjaan harian dan untuk membayar hutang,” ujarnya yang masih bekerja sebagai penoreh getah bagi menyara kehidupan.

Katanya, dia akan sentiasa memberi sokongan kepada kerajaan BN dan Umno dan mengharapkan bantuan tersebut diteruskan buat masa akan datang supaya nasib warga emas sepertinya terus terbela.

Sementara itu, Ibrahim Mohd Hasan, 70, seorang peneroka dari Felda Belara pula berkata, perasaan gembiranya tidak dapat digambarkan apabila namanya tersenarai sebagai penerima BR1M 2.0 pada kali ini.

"Saya sangat gembira menerima wang tunai RM500 ini dan akan gunakan untuk membeli kelengkapan keperluan harian keluarga terutamanya bagi bulan ini.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan BN dan Umno kerana tidak pernah membezakan fahaman politik dalam menjalankan tanggungjawab membantu rakyat yang memerlukan,” kata bapa kepada enam orang anak itu lagi.

Difahamkan, selain diberikan kepada lelaki atau perempuan yang menjadi ketua isi rumah dengan jumlah pendapatan kasar isi rumah tidak melebihi RM3000 dengan syarat telah berkahwin, serta ibu bapa tunggal yang mempunyai tanggungan berumur 20 tahun ke bawah, warga emas yang berumur 60 tahun ke atas juga turut mendapat keistimewaan untuk menerima BR1M berjumlah RM500.