Halaman

15 February 2013

Waterfront fasa dua rancak dibangunkan

Oleh: Aida Abd Rahman

Bandar Raya Kuala Terengganu kian berubah wajah apabila kerajaan negeri memperuntukkan RM150 juta bagi membangunkan pinggiran air dari Kampung Tanjung hingga Kampung Cina.

Projek fasa kedua sepanjang satu kilometer itu melibatkan keluasan empat hektar adalah sambungan kepada pembangunan pinggiran air sedia ada.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata pembinaan pinggiran air berkenaan sedang giat dilaksanakan sebagai kesinambungan pembangunan bandar pesisir air dan daya tarikan pelancong ke bandar Kuala Terengganu.

 "Kerja-kerja pembinaan waterfront di pinggir bandar ini sedang berjalan melibatkan sekitar Pasar Kedai Payang hingga Kampung Tanjung termasuk membina jeti pelancongan untuk ke Pulau Redang.

 "Apabila siap pusat rekreasi dan kemudahan itu kelak pastinya mampu menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini," katanya kepada pemberita sempena Walk About Tahun Baru Cina di Esplanade Kampung Cina, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Di samping itu, menurut Dato’ Seri Haji Ahmad, kerajaan juga akan menaik taraf Pasar Besar Kedai Payang menjadi bangunan empat tingkat yang dilengkapi 400 parkir.

 “Selain itu, deretan kedai emas, batik dan sutera di pasar berkenaan akan disusun atur semula supaya lebih tersusun.

“Sebuah pangsapuri 30 tingkat dan hotel lima bintang yang menyediakan 550 bilik juga bakal dibangunkan berhampiran Pasar Kedai Payang, " katanya.