Halaman

26 February 2013

YIT bina menara 20 tingkat

Oleh; Esah Abdullah

Yayasan Islam Terenganu akan membina kompleks bersepadu yang merangkumi menara 20 tingkat serta premis perkedaian 20 unit setinggi lima tingkat membabitkan kos RM100 juta.

Pengarahnya, Haji Md. Kamaru Al-Amin Ismail berkata, tapak kompleks ini terletak bersebelahan Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Mariam dan Wisma Darul Iman.

”Majlis pelancaran dan pecah tanah akan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis Hi-Tea bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Dakwah di Permai Inn, Kuala Terengganu.

Katanya, projek ini akan dilaksanakan oleh Syarikat ND Properties milik Bumiputra dan statusnya mungkin dijadikan hotel, rumah kediaman dan pelbagai.

Selain itu katanya, YIT juga merancang membangunkan projek perumahan dan premis perkedaian di kawasan seluas enam hektar di hadapan Awana Kijal, Kemaman.

Katanya, semua persiapan sudah diatur untuk mengadakan majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama dua buah syarikat yang bakal mengendalikan projek itu.

“Mulai tahun ini kita mula memajukan tanah-tanah yang merupakan aset YIT secara lebih agresif dan melalui projek di Kemaman kita jangka mampu memperolehi keuntungan RM15 juta,” katanya.

Menurutnya, projek yang sama turut dibangunkan di hadapan Hospital Setiu seluas dua hektar di Setiu untuk rumah kediaman dan rumah kedai.