Halaman

24 March 2013

BN menang besar, jika dapat sokongan wanita muda

Oleh: Suriati Ali 

Barisan Nasional (BN) Terengganu yakin akan memperoleh kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), sekiranya pengundi wanita muda memberi sokongan penuh.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, pengundi wanita di Terengganu adalah sebanyak 52 peratus, separuh daripadanya adalah terdiri daripada kalangan pengundi wanita muda, termasuk yang pertama kali mengundi.



Menurutnya, kini di Terengganu terdapat seramai 294, 606 pengundi wanita muda iaitu mereka yang berumur 40 tahun ke bawah, dari jumlah itu seramai 129, 651 pengundi berumur 35 ke bawah dan 164, 955 orang bagi 40 dan ke bawah.

“Wanita ini merupakan penggerak utama parti politik (kita), BN. Peranan wanita muda ini yang sebahagian besar terlibat dalam Pergerakan Puteri, manakala sebahagiannya pula dalam Persatuan Wanita Melayu Muda Terengganu (Wardah) yang meramaikan lagi jumlah wanita muda yang memberi sokongan kepada kerajaan BN.

“Mereka juga bukan hanya bertindak sebagai jentera yang membantu dalam teknologi maklumat (IT) bagi kemasukkan data-data pengundi pada menjelang PRU, malahan turut bersama-sama berkempen di kalangan kelompok sebaya untuk sama-sama membantu BN bagi memastikan (kita) menang cemerlang pada PRU13,” katanya.

 Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir merasmikan Himpunan Gagasan Aspirasi Wanita Muda Peringkat Negeri Terengganu, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, semalam.



 Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat & Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad dan isteri, To’ Puan Rosnani Ngah serta Pengerusi Persatuan Wanita Melayu Muda Terengganu, Nordiana Shafie.

 Dato’ Seri Haji Ahmad turut melahirkan rasa bangganya dengan pencapaian golongan wanita muda di negeri dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, profesional, keusahawanan dan juga dalama bidang sukan.

 Pada majlis tersebut, empat orang dianugerahkan sebagai penerima Anugerah Wanita Muda Cemerlang negeri, Azimah Dollah yang merupakan seorang guru penerima anugerah dalam bidang pendidikan, Rusila Yusof (Keushawanan), Dr Nor Zubaidah Kadir (Profesional) dan juga pelumba basikal negara, Fatehah Mustafa penerima anugerah dalam bidang sukan. Mereka menerima hadiah wang tunai RM2,000, sijil dan cenderamata yang disampaikan Menteri Besar.