Halaman

13 March 2013

Cabaran mendaki Gunung Berembun edisi ketiga 16 Mac ini

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Kembara Negara (PKN) bakal menganjurkan larian mendaki Gunung Berembun edisi ketiga menerusi program ‘Terengganu International Mount Berembun Challenge 2013’ pada 16 Mac ini.


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato' Haji Abdul Rahin Mohd Said berkata, Gunung Berembun yang berketinggian 1,108 meter / 3,405 kaki terletak di kawasan Hutan Lipur Sungai Chemerong di dalam Hutan Simpan Pasir Raja Dungun, Terengganu turut mempunyai air terjun tertinggi di Asia Tenggara, iaitu 305 meter.

Katanya, antara objektif penganjuran program ini adalah untuk mempromosikan Gunung Berembun, Hutan Lipur Air Terjun Chemerong dan kawasan sekitarnya sebagai tempat terkenal bagi aktiviti sukan lasak dan rekreasi di negeri ini.

"Program ini diharap menjadi salah satu acara dalam kalendar Sukan Pelancongan Negeri Terengganu yang dapat menarik pelancong dari dalam dan luar negeri.

"Selain itu, ia juga diharap dapat memupuk rasa cinta semua pihak yang terlibat dengan program ini terhadap alam semulajadi,” ujarnya pada sidang media Terengganu International Mount Berembun Challenge 2013, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Menurut beliau, trek pelumbaan bagi semua peserta akan bermula dari Hutan Lipur Air Terjun Berembun menuju ke ‘Check point’ yang ditetapkan mengikut kategori masing-masing di mana hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM 37,860.00 menanti pemenang bagi tujuh kategori yang dipertandingkan.

"Antara kategori yang dipertandingkan ialah kategori terbuka lelaki antarabangsa, terbuka lelaki, wanita antarabangsa, terbuka wanita, terbuka veteran lelaki, terbuka remaja lelaki/wanita dan tertutup Terengganu lelaki/wanita.

"Manakala yuran penyertaan bagi kategori terbuka lelaki adalah RM60, terbuka wanita/ veteran lelaki RM50, tertutup Terengganu lelaki/wanita RM45, terbuka remaja lelaki/wanita RM 40 dan terbuka antarabangsa lelaki/wanita RM100,” ujarnya.

Menurut Dato’ Rahin, sasaran penyertaan program ini cuma 500 orang tetapi ia mendapat sambutan menggalakkan di mana setakat ini penyertaan peserta telah melebihi 500 orang.

Tambah beliau, pelbagai acara sampingan turut diadakan bagi memeriahkan larian tersebut termasuk pertandingan masakan ‘Master Chef kampung’, merentas desa, mewarna kanak-kanak, ‘volunteer tourism’, kuiz pelancongan, kembara media dan persembahan kebudayaan.


Malah, program turut mendapat sokongan rakan penaja utama seperti Milo, Nestle Cereal Fitness, 100 Plus, Hi-Tech, Core Zone, My Sock dan Majalah Santai.

Kepada yang berminat untuk menyertai larian ini boleh dapatkan borang penyertaan menerusi laman web www.kembaranegara.com. Semua borang hendaklah diserahkan bersama yuran penyertaan dan bayaran boleh dibuat secara tunai/wang pos/cek diatas nama (KOC OUTDOOR CENTRE & ENTERPRISE –AFFIN BANK : 100300155717) selewat-lewatnya pada 13 Mac 2013.

Untuk keterangan lanjut hubungi sekretariat Mount Berembun Green Challenge 2013:

PERSATUAN KEMBARA NEGARA (PKN)
No 11, Jalan 14/1 Taman Tun Abdul Razak
68000, Kuala Lumpur

Fax : +603 4252 3743
Emel : kembara.event@gmail.com
FB : Terengganu Mount Berembun Green Challenge atau

Muhammad Rafi : +6012 371 5412
Afnal : +6012 202 2644
Dilla : +6012 698 6270