Halaman

25 March 2013

Dua projek rumah kedai di Besut dihentikan CIDB

Oleh: Noraini Jusoh

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Terengganu mengeluarkan notis pemberhentian kerja-kerja pembinaan bagi dua tapak projek pembinaan rumah kedai di daerah Besut, pada 18 Mac lalu.

Pengarah CIDB Negeri Terengganu, Ahmad Farrin Mokhtar berkata, notis tersebut dikeluarkan berikutan kegagalan kontraktor yang mengendalikan projek berkenaan mengemukakan Perakuan Pendaftaran CIDB yang sah.

"Notis yang dikeluarkan ini adalah berdasarkan kepada peruntukan sedia ada mengikut Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520).

"Susulan penutupan tersebut, dua laporan polis telah dibuat CIDB Negeri Terengganu bagi melengkapkan prosedur sedia ada," katanya.

Katanya, dalam masa yang sama, kontraktor yang terbabit juga telah diberikan peringatan untuk memohon Perakuan Pendaftaran CIDB mengikut gred berkaitan.

Menurut Ahmad Farrin, notis pemberhentian kerja-kerja pembinaan itu hanya akan ditarik balik sekiranya kontraktor terbabit memperoleh Perakuan Pendaftaran CIDB.

Jelas beliau, tindakan mahkamah masih akan diambil terhadap kontraktor terbabit kerana menjalankan kerja pembinaan tanpa Perakuan Pendaftaran CIDB yang sah.

Katanya, kontraktor yang terbabit akan didakwa di bawah Seksyen 29, Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520) yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000, jika sabit kesalahan.

Tambah beliau, pelaksanaan sesuatu kerja pembinaan tanpa mempunyai Perakuan Pendaftaran CIDB adalah merupakan satu kesalahan dan tindakan yang diambil adalah untuk memastikan semua kerja pembinaan hanya dilaksanakan oleh kontraktor yang mempunyai Perakuan Pendaftaran CIDB yang sah sahaja.