Halaman

30 March 2013

IQT akan dinaik taraf menjadi kolej

Oleh: Noraini Jusoh

Dengan persetujuan kerajaan negeri, Institut al-Quran Terengganu (IQT) akan dinaik taraf menjadi sebuah institusi bertaraf kolej tidak lama lagi.

Pengarahnya, Haji M. Rozi Bidin berkata, bagi merealisasikan hasrat tersebut, IQT sedang merangka beberapa program ke arah mencapai status sebuah kolej.

"Pihak pengurusan IQT dengan kerjasama Bahagian Akademik telah mengadakan perbincangan awal dengan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM ) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk menjalin kerjasama bagi merealisasikan hasrat itu.

"Hasil perbincangan tersebut adalah positif di mana kedua-duanya bersetuju untuk membantu IQT dan perbincangan lanjut akan diadakan dari semasa ke semasa,” ujarnya ketika berucap di Majlis Penyerahan Netbook 1Malaysia dan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) Pelajar-Pelajar di Institut Al-Quran Terengganu, baru-baru ini.

Katanya, dalam masa yang sama pihak pengurusan IQT turut mengadakan perbincangan dengan Universiti Islam Madinah dan Universiti Ummul Qurra, Makkah bagi memastikan pelajar-pelajar IQT dapat menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi di kedua-dua universiti itu dan hasil perbincangan juga menunjukkan petanda positif.

Menurut beliau, bagi memastikan perjalanan IQT menjadi lebih kemas dan tersusun pada 10 hingga 13 April nanti, pihak pengurusan IQT akan menagdakan lawatan akademik ke Pusat Studi Quran dan Institut Ilmu al-Quran, Jakarta bertujuan melihat sistem pembelajaran di sana untuk dimanfaatkan oleh IQT.