Halaman

26 March 2013

Jabatan Perikanan lulus 3,000 lesen sampan

Sebahagian daripada 605 nelayan telah meneriman lesan khas sampan. - Gambar Fail.

Oleh; Esah Abdullah

ABDUL KHALIL
Seramai 358 daripada 605 nelayan telah menerima lesen khas sampan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri Encik Abdul Khalil Abdul Karim berkata, baki permohonan itu sedang diproses untuk menentukan mereka layak dan memenuhi peraturan yang telah ditetapkan.

“Kita menetapkan syarat kelulusan ialah nelayan tulen, 70 peratus pendapatan daripada aktiviti nelayan dan berdaftar dengan e-Kasih,” katanya.

Katanya, mereka yang menerima lesen khas sampan itu layak mendapatkan subsidi minyak apabila ingin turun ke laut selain bantuan sara hidup nelayan yang ditawarkan oleh kerajaan,

``Sehingga kini kira-kira 3,000 lesen khas sampan telah diluluskan kepada nelayan di negeri ini sejak ia diperkenalkan semula pada 2008 sehingga kini setelah dibekukan pada 1982 ,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan `Touch Point peringkat daerah Kuala Terengganu yang disempurnakan oleh Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, Dato’ Haji Che Mat Jusoh, di Lagun Kuala Ibai, Kuala Terengganu semalam.

Pada majlis itu seramai 42 nelayan menerima lesen khas sampan, 28 penternak menerima input makanan ikan bernilai RM20,000. 20 nelayan menerima jaket keselamatan dan tiga orang menerima benih ikan hiasan yang disampaikan oleh Dato’ Haji Che Mat.

Sempena dengan majlis itu, Jabatan Perikanan turut melepaskan kira-kira 5,000 benih ikan siakap di kawasan lagun berkenaan.