Halaman

23 March 2013

Jalin hubungan baik demi kesinambungan transformasi

Oleh: Suriati Ali dan Esah Abdullah 

 Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menegaskan agenda transformasi negara tidak dapat dilaksanakan sekiranya tiada hubungan baik antara rakyat dan pemimpin demi menjayakan program disusun kerajaan Barisan Nasional (BN).

 Katanya, langkah itu cukup penting untuk kesinambungan yang sudah dirancang dan dilaksanakan pimpinan utama negara Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak.

“Kejayaan-kejayaan yang dicipta oleh kerajaan persekutuan adalah turut dibantu di pihak kerajaan negeri dengan didokong oleh rakyat setempat.

"Apa yang dibukukan dalam laporan tentang pencapaian kerajaan menerusi program transformasi baru-baru ini bahawa usaha yang telah diambil oleh Perdana Menteri telah pun mencatat kemajuan-kemajuan yang luar biasa.

 "Ini jelas terbukti bahawa dengan kesungguhan kepimpinan negara kita melaksanakan perubahan-perubahan besar di negara kita dari segi program transformasi ekonomi, program transformasi kerajaan, program transformasi politik dan sosial, maka semua bidang-bidang yang disebutkan tadi telah mencatat pencapaian yang luar biasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Rakyat yang dihadiri hampir 20,000 orang di pekarangan Masjid Kampung Petai Bubus, Manir, Kuala Terengganu, semalam.

 Hadir sama isteri, Isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Seri Norainee Abd Rahman; Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud dan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek.

 Tetamu kehormat lain Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, wakil-wakil rakyat DUN dan Parlimen serta pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Umno Terengganu.

 Sebelum itu, Tan Sri Muhyiddin bersama Isteri dan rombongan sempat meluangkan masa bertanya khabar melawat seorang warga emas, Tuan Kamariah Tuan Dalam, 95, yang menghidapi penyakit angin ahmar di rumahnya di kampung sama selepas selesai menunaikan solat Jumaat.

Tan Sri Muhyiddin turut memberitahu, Malaysia adalah satu-satunya negara di mana kerajaan melaporkan kepada rakyat setahun sekali tentang apa yang telah kerajaan rancangkan dan apa kejayaan yang telah negara capai.

 “Tidak ada kerajaan di dunia yang membuat bagaimana yang dibuat kerjaaan kita yang ada pada hari ini. “Kita sentiasa terbuka dan mengamalkan sikap yang telus dalam apa usaha yang kita lakukan dan tidak ada apa yang mahu kita selindungkan," katanya.