Halaman

03 March 2013

Kerajaan belanja RM5 juta bantu mangsa banjir

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri membelanjakan RM5 juta untuk bantu mangsa yang terlbat dalam banjir pertama dan kedua yang berlaku di negeri ini.



 Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, jumlah itu tidak termasuk mereka yang terbabit dalam gelombang ketiga yang berlaku minggu lalu.

“Kita telah membelanjakan RM5 juta setakat ini di mana setiap keluarga masing-masing menerima RM500,” katanya kepada pemberita di majlis Pengagihan Bantuan Mangsa Banjir Tahun 2012-2013 Daerah Kuala Terengganu di Dewan Kampus Institut Pendidikan Guru Dato’ Razali Ismail Batu Rakit hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Noh dan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Terengganu, Encik Tajul Ariffin Mohamad.



Katanya, kerajaan sentiasa jaga kebajikan rakyat bukan saja yang mengalami kesempitan hidup tetapi turut memberi perhatian kepada mereka yang ditimpa musibah seperti bencana alam dan sebagainya.

“Saya harap rakyat bersyukur dengan limpah nikmat yang dikurniakan kepada negeri kita serta membolehkan rezeki ini diagihkan kepada rakyat yang memerlukan,” katanya.

Terdapat 524 orang mangsa banjir dari Dun Tepoh, Seberang Takir, dan Teluk Pasu hadir menerima bantuan berupa wang tunai yang disampaikan oleh Menteri Besar.