Halaman

28 March 2013

Kerajaan berjaya tarik pelaburan RM25 bilion tahun ini

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri telah berjaya menarik pelabur dari luar negara dengan jumlah pelaburan RM25 bilion menerusi industri besi waja di Kemaman tahun ini.



Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, projek ini termasuklah pembinaan kompleks besi bernilai RM15 bilion dan kilang besi bernilai RM10 bilion.

“Melalui kedua-dua projek ini dijangka dapat membuka peluang 5,000 pekerjaan kepada anak tempatan,” katanya di majlis Perasmian Terowong Kemajuan Pulau Kambing ke Bukit Kecil, Kuala Terengganu hari ini.



Hadir sama, Hakim Mahkamah Tinggi Malaya tTerengganu, Dato’ haji Yazid Mustafa; Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Haji Shafie Mohamad.

Selain itu katanya, satu penemuan baru bijih besi ditiga kawasan di bumi Terengganu merupakan satu lagi anugerah Allah s.w.t untuk rakyat negeri ini.

“Jika kita sentiasa bersyukur dengan limpah nikmat kurniaanNYA, nescaya Allah akan tambah lahi nikmat pada masa akan datang,” katanya.

Menteri Besar kemudiannya berterima kasih kepada semua yang terlibat dengan pembinaan terowong yang dapat menyiapnya mengikut jadual.



“Peruntukan asal terowong berkenaan adalah RM2.6 juta tetapi hanya membelanja kan kira-kira RM2.1 juta sahaja,” katanya.

Katanya Terowong Kemajuan ini memberi banyak manfaat kepada orang ramai terutama ibu bapa dari arah Jalan Kampung Pulau Kambing untuk menghantar anak mereka ke Sekolah Menengah Chung Hwa Wei Sin dan juga laluan ke pusat bandar.