Halaman

07 March 2013

Kerajaan BN hargai sumbangan perajurit, pembangkang keji

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Dato' Seri Haji Ahmad Said
Keputusan Kerajaan Terengganu menyumbangkan RM100,000 kepada dua keluarga anggota pasukan keselamatan dari negeri ini yang terkorban dalam peristiwa pencerobohan pengganas di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah, baru-baru ini merupakan langkah yang terpuji.

Sumbangan tersebut membuktikan betapa prihatinnya Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa memberi penghargaan kepada mereka yang telah berjasa kepada tanah air, apatah lagi sanggup mempertaruhkan nyawa hingga gugur di medan perang.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said selepas mempengerusikan mesyuarat Exco semalam, mengumumkan kerajaan negeri merakamkan ucapan takziah kepada dua keluarga terbabit dan berharap roh mereka dicucuri rahmah serta ditempatkan bersama para syuhada.


Beliau turut mengumumkan setiap keluarga anggota yang terkorban masing-masing menerima RM50,000 daripada kerajaan negeri di mana keputusannya dibuat pada mesyuarat Exco.

Sebaliknya, pemimpin pembangkang bersikap biadab dan bermulut celupar hingga sanggup membuat kenyataan kononnya insiden pencerobohan pengganas dan tembakan di Lahad Datu sebagai konspirasi terancang Kerajaan Umno dan BN.

Ekoran kenyataan tindakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua itu rakyat pelbagai lapisan amat marah dan mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan tersebut.

Pelbagai lapisan masyarakat di Terengganu, termasuk parti politik dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) telah membuat laporan polis kerana tidak puas hati dengan kenyataan yang menghina Kerajaan BN dan seluruh anggota pasukan keselamatan.

Dua anggota keselamatan kelahiran negeri ini yang terkorban dalam insiden itu ialah Allahyarham Asisten Superintendan Zulkifli Mamat, 29, anggota Komando VAT 69, berasal dari Kampung Kubang Ikan, Jerteh.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Puan Nor Aziah Noor dan dua anak lelaki, Noor Aqmar Amiruddin, 4 dan Noor Muhammad Akil satu tahun.

Seorang lagi mangsa ialah Allahyarham Superintendan Ibrahim Lebar, 52, anggopta Cawangan Khas Bukit Aman yang berasal dari Jabi, Besut. Allahyarham meninggalkan seorang balu, Rosiah Dahlan serta tiga anak berusia 17 hingga 22 tahun.

Sudah tentu sumbangan kerajaan negeri itu tidak mampu memadamkan kesedihan dua keluarga pasukan keselamatan yang terkorban itu, tetapi ia sekurang-kurangnya meringankan beban mereka menyara anak-anak yang masih kecil untuk meneruskan kehidupan.

Apa pula sumbangan daripada pihak pembangkang sebagai tanda simpati mereka terhadap balu dan ahli keluarga perajurit yang telah terkorban.

Seperti kebiasaannya, pihak pembangkang tidak akan berbuat apa-apa, tetapi dalam insiden ini mereka bertindak lebih teruk lagi apabila menghiris perasaan mereka dengan kenyataan tidak bertanggungjawab itu. Itulah beza antara Kerajaan BN dan pembangkang.....