Halaman

05 March 2013

Kerajaan sasar lahir 1,000 hafiz dan hafizah

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri berhasrat melahirkan 1,000 orang hafiz dan hafizah setahun dalam tempoh 10 tahun akan datang dan usaha kearah mencapai sasaran tersebut sedang dilaksanakan.

Antaranya usaha menaiktaraf Sekolah Pondok Darul Iman (PDI) di Hulu Terengganu dan Institut Pendidikan Islam (Inspi) di Kemaman.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kerajaan yakin capai sasaran berkenaan berdasarkan beberapa sekolah pondok moden diwujudkan di Hulu Terengganu dan Kemaman serta pertambahan sekolah Imtiaz di setiap daerah.

 “Sehingga ini kita mempunyai 300 hafiz dan hafizah seluruh negeri,” katanya kepada pemberita di Majlis Pelancaran Kitab Al-Fiqhul-Muyassaru Fi-Matla’il Badraini Wa Majma’il-Bahraini Siri Kedua dan Ketiga dan Kursus Metodologi Pengajaran Guru-guru Agama Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman semalam.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri Dato’ Haji Abdul Razak Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat dan Pengarahyayasan Islam Terengganu (YIT), Haji Md Kamaru Al-Amin Ismail.

 Katanya, pada masa ini terdapat lima buah Sekolah Imtiaz di negeri ini setiap daerah kecuali Marang dan Setiu yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

 “Kita akan memperkasakan sekolah Imtiaz sedia ada dan membina dua buah sekolah lagi iaitu di daerah Marang dan Setiu bagi membolehkan lebih ramai pelajar masuk ke sekolah berkenaan,” katanya.

Tambahnya, ramai ibu bapa dari negeri-negeri lain berminat menghantar anak-anak mereka belajar di Sekolah Imtiaz, tetapi setakat ini kerajaan negeri hanya memberi peluang 10 peratus pelajar luar melanjutkan pelajaran di sekolah berkenaan.