Halaman

17 March 2013

Kovensyen KDM beri manfaat kepada ahli

Oleh: Noraini Jusoh

Kerjaya sebagai seorang doktor sudah sinonim sebagai satu cita-cita yang biasanya ditanam ibu bapa dalam jiwa anak-anak sejak kecil.


Semua ibu bapa mahukan anak-anak mereka berjaya dalam mencorakkan kehidupan dan melihat kerjaya doktor sebagai antara kerjaya yang dipandang mulia dalam masyarakat.

Sehubungan itu, berteraskan slogan ‘Rakan Kesihatan Anda’ Kovensyen Kelab Doktor Muda (KDM) Peringkat Daerah Kuala Terengganu berjaya mengumpul wakil KDM daripada 27 sekolah rendah dalam daerah Kuala Terengganu di bawah satu bumbung melalui pelbagai aktiviti bermanfaat.

KDM yang disertai oleh murid terpilih tahun empat, lima dan enam berupaya menjadi contoh dan pembimbing rakan sebaya tentang ilmu asas kesihatan kerana dilatih dari segi teori dan praktikal berkaitan perkara asas tentang penyakit, kebersihan diri, kebersihan makanan dan alam sekeliling.

Pegawai Pelajaran Daerah Kuala Terengganu, Haji Matsor Ismail berkata, sepanjang sehari konvensyen berlangsung, murid-murid didedahkan dengan pelbagai aktiviti seperti pameran aktiviti ‘Doktor Muda’, pertandingan bercerita dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, pertandingan melukis poster, kuiz kesihatan, persembahan bakat / sketsa dan lain-lain lagi.

"Melalui aktiviti yang dijalankan, secara tidak langsung dapat mengasah bakat anak-anak ini untuk ke peringkat yang lebih tinggi.

"Selain itu, ia juga dapat menyemai semangat berpasukan di kalangan mereka dan merealisasikan hasrat kerajaan untuk memastikan setiap pelajar mempunyai satu persatuan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Kelab Doktor Muda Peringkat Daerah Kuala Terengganu di Institut Pendidikan Guru, Kampus Dato’ Razali Ismail, semalam.

Turut hadir, Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Terengganu, Dr. Balkis Ab. Karim.

Menurut Haji Matsor, program seumpama itu juga memenuhi enam ciri aspirasi utama dalam pelan pembangunan pelajar iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional.