Halaman

25 March 2013

Pas nyata Parti Ajaran Sesat – MB

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Parti Pas ternyata membawa ajaran sesat kerana guru-guru agama yang berada di dalam parti itu mengajar perkara-perkara yang membawa kepada perpecahan umat Islam di negara ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pengikut Pas yang mengaji dengan guru-guru agama Pas melakukan perbuatan yang menyebabkan isteri menderhaka kepada suami manakala suami pula mengabaikan tanggungjawab terhadap isteri.

Manakala anak-anak pula, katanya, menderhaka kepada ibu bapa mereka setelah belajar dengan guru-guru agam yang berada dalam Pas.

“Biasanya tok guru membaca al-Quran kepada anak-anak murid mereka yang boleh dijadikan penawar kepada umat Islam. Tetapi, ia tidak berlaku apabila murid belajar dengan tok guru Pas,” katanya ketika berucap di majlis pengagihan e-Book kepada murid-murid Tahun Empat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong di Sekolah Menengah Kebangsan Seri Payong, petang semalam.

Hadir sama pada majlis itu Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar dan Pegawai Pembangunan DUN Bukit Payong, Encik Zaidi Muda.

Menteri Besar berkata, inilah bukti yang jelas betapa Pas membawa ajaran sesat yang membawa kepada masalah perpecahan di kalangan umat Islam di Terengganu dan seluruh negara.

Pada masa yang sama, katanya, pemimpin Pas tidak konsisten dalam perjuangan mereka dan sering menukar pandangan mereka mengenai Islam bagi kepentingan politik dan menjaga hati pemimpin DAP.

“Dulu Pas menggunakan slogan “Membangun Bersama Islam”, kini mereka tukar pula slogan “Islam Untuk Semua” bagi menarik masyarakat bukan Islam berdamping dengan mereka,” ujar beliau.

Seramai 568 murid Tahun Empat di DUN Bukit Payong menerima e-Book masing-masing daripada Menteri Besar petang semalam.