Halaman

23 March 2013

Pas punca Melayu berpecah

Oleh: Cicit Laksamana 

Sekadar mengimbau sejarah silam, satu perhimpunan besar-besaran dikenali sebagai Kongres Melayu Se-Malaya pertama telah diatur Persatuan Melayu Selangor di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baharu, Kuala Lumpur pada 1 hingga 4 Mac 1946 di mana 41 pertubuhan Melayu telah menghantar wakil masing-masing.

Dua daripada tiga usul yang dululuskan Kongres ialah menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) dan membantah pertubuhan Malayan Union.

Satu jawatankuasa terdiri daripada Dato’ Onn, Dato’ Panglima Bukit Gantang, Dato’ Nik Ahmad Kamil, Dato’ Hamzah Abdullah dan Encik Zainal Abidin Ahmad (Zaaba) dipilih bagi menyediakan draf Piagam atau Perlembagaan Umno dan dibentangkan oleh Kongres Melayu Se-Malaya.

Walaupun mendapat tentangan hebat dari kaum Melayu, Kerajaan British tetap meneruskan rancangan mereka mewujudkan Malayan Union pada 1 April 1946. Tanggal 11 Mei 1946 di Istana Besar Johor Bahru, Kongres Melayu Se-Malaya ketiga dan perhimpunan agung pertama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau PEKEMBAR (Umno) telah berlangsung dan Perlembagaan Umno telah diterima dan diluluskan oleh para peserta.

Maka Umno pun lahirlah secara rasmi.

Umno kini merupakan parti yang terbesar dan menjadi teras pemerintahan negara dengan jumlah kerusi terbanyak dan pemimpinnya berperanan dalam membuat dasar-dasar kerajaan.

Umno juga antara parti bercorak demokratik yang tertua di negara-negara membangun dan masih kuat kedudukannya setelah melalui pelbagai peristiwa dan cabaran, serta dihormati oleh kawan dan lawan atas prinsip-prinsip keadilan, ketegasan dan keupayaannya menjalankan dasar-dasar yang telah dipersetujui.

Parti keramat ini dilahirkan hasil dari percantuman pertubuhan-pertubuhan Melayu dengan berbagai aliran falsafah dan pendapat, tetapi bersetuju mengambil tindakan bersama untuk survival bangsa Melayu.

Nasionalisme Melayu sebelumnya agak malap kerana wujudnya penduduk berbilang kaum sebagai faktor penghalang, penekanan oleh penjajah, tendensi masyarakat Melayu untuk berpecah-belah mengikut negeri, ketiadaan kesedaran politik yang meluas serta terdapat kemakmuran ekonomi yang membolehkan kehidupan sederhana kepada sebilangan besar rakyat.

Tetapi nasionalisme ini bukan suatu pemikiran sempit kerana ia diperluaskan untuk merangkumi lain-lain kaum demi perpaduan dan kestabilan negara. Di peringkat awal pergerakan ke arah kemerdekaan tidak mungkin bagi sesuatu kaum memaksakan politiknya dan menolak kenyataan hadirnya kaum-kaum lain yang juga berhak untuk menyertai dalam politik negara. Usaha-usaha dibuat bagi mengeratkan kerjasama di antara kaum sehingga tertubuhnya Perikatan UMNO-MCA pada awal 1952 bila kedua-dua parti ini bertanding dalam pilihan raya Perbandaran Kuala Lumpur.

Kemenangan telah diperolehi oleh kedua-duanya dan ini membawa kepada kerjasama yang lebih jauh menjelang kemerdekaan negara. Pada tahun 1955 bagi menghadapi pilihan raya umum yang pertama, Perikatan UMNO-MCA-MIC telah diwujudkan sebagai lambang permuafakatan dan kerjasama yang rapat antara kaum.

 Dengan dipimpin Tunku Abdul Rahman Putra, kemenangan cemerlang telah diperolehi, dengan sendirinya menjelaskan kepada pihak penjajah bahawa kaum-kaum di Tanah Melayu adalah bersatu hati dan boleh merdeka

Rundingan demi rundingan diadakan di London di antara wakil-wakil Perikatan yang diketuai Yang DiPertua Umno, Tunku Abdul Rahman Putra, wakil Raja-Raja Melayu dan wakil-wakil Kerajaan British dan akhirnya persetujuan dicapai bagi kemerdekaan Tanah Melayu sebagai negara yang merdeka dan berdaulat mulai 31 Ogos 1957.

Sebagai negara merdeka dan berdaulat, Umno menjadi tulang belakang dalam Kerajaan Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional, dan tidak putus-putus bergerak untuk mengisi makna kemerdekaan. Usaha membangunkan negara dalam semua bidang dimulakan dengan wujudnya Rancangan Pembangunan Jangkapanjang dan Rancangan Pembangunan bagi tiap-tiap lima tahun bermula dengan Rancangan Malaya Pertama (1956-60).

Tujuan utama rancangan pembangunan negara, antara lainnya meningkatkan taraf politik dan sosio-ekonomi rakyat, menentukan kesalamatan rakyat dari ancaman musuh baik dari dalam atau luar negari, memperkembangkan ekonomi negara dan menyediakan prasarana yang berkesan.

Sejak ditubuhkan hingga sekarang pemimpin Umno berjuang tanpa mengira habuan yang bakal diraih dengan satu matlamat iaitu memerdekakan negara supaya anak-anak watan dapat menentukan sendiri masa depan negara. Pada masa itu, pemimpin Umno berjuang berhabis-habisan tanpa bantuan Pas yang ditubuhkan pada tahun 1951 kerana rasa kecewa Haji Ahmad Fuad Hassan yang kalah dalam merebut jawatan dalam Umno.

Bila Pas ditubuhkan, masyarakat Melayu mula berpecah apabila timbulnya Amanat Haji Hadi, isu kafir mengkafir dan solat Jumaat di masjid berasingan. Pas menyebabkan putus tali persaudaraan dan rakan taulan kerana ahli-ahli dan pengikut parti itu terlalu taksub kepada pemimpin mereka.

Kini Pas bersengkokol pula dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang ditubuhkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim setelah pemimpin pembangkang itu disingkirkan daripada Umno kerana pelbagai salah laku. Apa jasa kedua-dua parti itu yang mendakwa mereka memperjuangkan nasib bangsa Melayu, berbanding Umno?

Justeru, tidak hairanlah bila mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir meminta pengundi supaya memilih calon-calon Umno yang akan bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) supaya usaha menyatukan semula masyarakat Melayu dapat dicapai. Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berucap di Marang menegaskan tiada jalan keluar bagi mengatasi masalah perpecahan di kalangan orang Melayu kecuali menumbang atau `meranapkan’ parti Pas pada PRU13.

 “Jika mereka (Pas) benar-benar ikhlas berjuang untuk agama dan bangsa, mengapa timbul isu solat Jumaat dua kariah dan sanggup melabelkan Umno sebagai kafir serta mendoakan agar Barisan Nasional (BN) tumbang dan wujudnya Amanat Haji Hadi. “Semua itu memberi kesan yang cukup hebat kepada masyarakat, terutama golongan Melayu yang kini berpecah kepada tiga puak, iaitu ada yang berpihak kepada Umno, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR),” kata Dr Mahathir.

Tun Dr Mahathir menjelaskan beliau cukup sedih mengenangkan perkara itu dan meminta pengundi di seluruh negara supaya meranapkan Pas sehingga tiada apa yang tinggal kerana parti itu menjadi penghalang terhadap perpaduan orang Melayu. Amanat Tun Dr Mahathir perlu ditunaikan demi masa depan negara kerana apa yang sedang dilakukan oleh Pas dan PKR membahayakan masa depan generasi Melayu dan rakyat Malaysi berbilang kaum.

Bangkitlah umat Melayu, tegakkan Melayu di Nusantara dan usah diberi undi kepada calon Pas dan PKR yang menjadi pengkhianat bangsa.