Halaman

09 March 2013

Pasar raya baru elak penduduk ke luar Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Kewujudan lebih banyak pasar raya baru di Bandar Kuala Terengganu memberi peluang Bumiputera di negeri ini untuk meningkatkan penglibatan di bidang ekonomi dan mengelak penduduk daripada berkunjung ke luar Terengganu khususnya Kuala Lumpur, Pahang dan Kelantan untuk membeli-belah.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kebanyakan penduduk negeri ini yang berkemampuan dan mempunyai kuasa beli yang tinggi memilih untuk berkunjung ke pasar raya terkenal di bandar besar luar Terengganu bagi mendapatkan barangan pilihan masing-masing terutama pada hujung minggu dan cuti umum.

“Apabila mereka keluar membeli-belah di negeri lain, menyebabkan kita rugi kerana aliran perbelanjaan mereka, wang keluar di tempat lain bukan negeri kita sendiri.

 “Dengan adanya kemudahan pusat beli-belah di tempat kita sendiri, kita akan wujudkan perbelanjaan yang berterusan dalam ruang likup (kawasan) kita sendiri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek PB Sentral, Jalan Enku Embong Fatimah, baru-baru ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur, Kemudahan Awam negeri, Dato’ Za’abar Mohd Adib dan Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Dato’ Osman Muda.

 PB Sentral sempena nama kawasan `Paya Bunga’ sebagai kesinambungan pembangunan projek PB Square yang sudah 82 peratus siap dan Plaza Paya Bunga yang dijangka beroperasi selewat-lewatnya Jun ini, selepas terbengkalai agak lama.


Menteri Besar berkata, PB Sentral yang bernilai RM90 juta setinggi sembilan tingkat akan dilengkapi 679 lot parkir (tingkat satu hingga enam), 10 panggung cineplex (tingkat tujuh hingga lapan) serta pusat boling (36 lorong) di tingkat sembilan.

 Selain itu, Dato’ Seri haji Ahmad berkata kerajaan negeri juga merancang membangunkan pusat perniagaan baru dikenali sebagai `Life Style Mega Mall’ di kawasan seluas satu juta kaki persegi di Kampung Tanjung yang turut dilengkapi dengan kompleks membeli-belah, panggung wayang, pusat boling dan juga apartment.