Halaman

18 March 2013

Pembangunan fizikal beri impak besar terhadap pembelajaran di UMT

Oleh; Esah Abdullah

Pembangunan fizikal yang siap dan bakal memulakan operasi ini memberi impak besar terhadap pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Naib Canselor UMT, Prof Emeritus Dato’ Dr Ibrahim Komoo berkata, tiga pakej projek yang siap serentak ini akan merancakkan lagi aktiviti penyelidikan di sini.

“Dengan adanya tiga buah fakulti baharu dan hub-hub kecemerlangan seperti Institut Oceanografi (INOS) dan Institut Akuakultur Tropika (AKUATROP) saya yakin ia bakal menjadi pemangkin kepada kecemerlangan penyelidikan dan memberi impak besar terhadap bidang kajian utama universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Penyerahan Projek Pakej 2A, 2B dan 2C Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Kompleks Kuliah Pusat UMT hari ini.

Teks beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT, Prof Dr Anuar Hassan.

Pada majlis itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Datuk Ab. Rahim Md. Nor menerima penyerahan kunci projek daripada Jabatan Kerja Raya selaku agensi pelaksana.

Hadir sama, Setiausaha Bahagian Pembangunan KPT, Dato’ Mohamed Hussain; dan Pengarah Kerja Raya Negeri Terengganu Ir. Haji Shafie Mohammad.

Katanya, siapnya Kompleks Makmal, Kompleks Kuliah Pusat dan Fakulti Maritim dan Sains Marin (pakej 2A), akan merancakkan lagi aktiviti penyelidikan.

Manakala dalam memenuhi citra pembelajaran dinamik Fakulti Agroteknologi dan Sains Makanan dan Pusat Pengajian Siswazah (pakej 2B) yang dilengkapi kemudahan pembelajarn terkini mampu memberi keselesaan pelajar sejajar dengan konsep lestari yang ditekankan.

Sejajar dengan hasrat untuk mengembangkan program pengajian ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam aspek penawaran program pembinaan Institut Oseangrafi dan Sekitaran (INOS) dan Institut Akuakultur Tropika (AKUATROP) mampu meletakkan nama UMT sebagai Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE) ketujuh

 “HICoE telah dinobatkan sebagai negara peneraju dalam bidang oseanografi dan sains marin di peringkat negara, serantau dan antarabangsa,” katanya.