Halaman

28 March 2013

Pemberian e-Book akan diperluas ke setiap hospital

Dato' Haji Ahmad Razif melihat pesakit yang ditempatkan di 'Sekolah Kita' HSNZ menggunakan e-Book yang disampaikan oleh kerajaan negeri.
Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri akan memperluas pemberian e-Book kepada Jabatan Pediatrik setiap hospital di negeri ini bagi memastikan pesakit kanak-kanak yang sedang menerima rawatan di hospital tidak ketinggalan dalam pelajaran.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, buat permulaan Jabatan Pediatrik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu terpilih sebagai hospital perintis menguji keberkesanan penggunaan e-Book itu.

"Sebagai permulaan, 10 unit e-Book diserahkan kepada HSNZ dan lima unit lagi kepada Hospital Kemaman dan jika terbukti berjaya dengan perkembangan positif pesakit, ia akan di perluaskan ke hospital daerah lain," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan e-Book itu di ‘Sekolah Kita’ HSNZ, semalam.

Katanya, ‘Sekolah Kita’ yang diwujudkan hasil inisiatif HSNZ sejak tahun 2004 bertujuan menyediakan kemudahan pembelajaran akademik kepada pesakit kanak-kanak yang sedang menerima rawatan di hospital itu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pediatrik HSNZ Dato’ Dr Jimmy Lee Kok Foo berkata kira-kira 90 peratus daripada 2,000 pesakit kanak-kanak yang mendapatkan rawatan di jabatan itu ialah pesakit Talasemia.

"Bagi seorang kanak-kanak yang menghidap penyakit Talasemia, tempoh setiap rawatan antara enam hingga lapan jam di hospital merupakan rutin yang membosankan, namun dengan adanya kemudahan e-Book di sini, mereka mengisi masa itu dengan perkara yang bermanfaat," katanya.

Selain itu, Dato’ Haji Ahmad Razif juga berkata HSNZ bakal mempunyai sebuah perpustakaan bagi menyuburkan budaya membaca dalam kalangan pesakit, petugas dan orang ramai yang berkunjung ke HSNZ.