Halaman

11 March 2013

Penciptaan Relau PAQ mudahkan proses pelupusan al-Quran

Operasi pembuangan abu al-Quran lama dan bahan-bahan bercetak yang mengandungi teks al-Quran ke tengah laut di Perairan Terengganu, kira-kira sejauh sembilan batu nautika dari muara Kuala Terengganu.

Oleh: Noraini Jusoh

Penciptaan Relau Pelupusan al-Quran yang diberi nama Relau PAQ hasil ciptaan kakitangan Bahagian Penyelidikan, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu memudahkan proses pelupusan al-Quran di mana kerja-kerja pembakaran dapat dilakukan dengan lebih efisien.

Timbalan Pesuruhjaya, Jabatan Pembangunan Keluarga dan Penyelidikan Maidam, Hajah Samsiah Dato’ Haji Awang berkata, penggunaan relau yang berharga RM7,000 itu juga menjimatkan kos dan masa operasi pelupusan selain tidak menjejaskan alam sekitar.


"Proses pelupusan al-Quran hanya dilakukan tiga hari dalam seminggu dengan menjalankan kerja pembakaran kira-kira lapan jam sehari oleh tiga pekerja.

"Hasil pembakaran al-Quran sebanyak 100 kilogram (kg) menggunakan relau tersebut akan menghasilkan sebanyak 14 kg abu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas operasi pembuangan abu al-Quran lama dan bahan-bahan bercetak yang mengandungi teks al-Quran ke tengah laut di Perairan Terengganu, kira-kira sejauh sembilan batu nautika dari muara Kuala Terengganu, hari ini.

Menurut Hajah Samsiah, dalam operasi itu pihaknya berjaya melupuskan 700 kg abu al-Quran hasil daripada pembakaran al-quran sebanyak 1 tan mengunakan Relau PAQ.

"Berbanding cara manual yang digunakan tahun lepas kita hanya dapat lupuskan 200 kg abu al-Quran, tetapi dengan pengunaan relau yang sentiasa dilakukan penambahbaikan, jumlah abu al-Quran yang berjaya dilupuskan dengan cara yang betul dapat ditingkatkan,” katanya.

Tambah beliau, bagi orang ramai yang ingin melupuskan al-Quran boleh menghantar al-Quran lama yang rosak ke Pejabat Agama Daerah masing-masing dan setakat ini tiada sebarang bayaran yang dikenakan.

"Setiap orang bertanggungjawab menjaga kesucian al-Quran dan sekiranya tidak tahu cara yang betul untuk melupuskan al-Quran yang telah rosak bolehlah menghantarnya kepada kami untuk dilupuskan mengikut hukum syarak,” jelasnya.