Halaman

31 March 2013

SABAR MENUNGGU PRU 13...

Oleh: Ruslan AR 


Mutakhir ini masyarakat di mana-mana sahaja bercakap mengenai Pilihanraya Umum Ke 13 yang akan menjelang tiba.

Pilihanraya bolehlah disifatkan sebagai proses penglibatan rakyat dalam memilih wakil mereka untuk memperolehi mandat kuasa bagi membuat keputusan, membentuk dasar dan undang-undang mengikut kehendak masyarakat majoriti.

Pilihanraya di bawah sistem Parlimen seperti di Malaysia bertujuan untuk memilih ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat di peringkat Persekutuan dan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri di peringkat negeri, seterusnya membentuk kerajaan.

Ia adalah suatu proses yang sungguh murni dan di negara kita ia telah berlangsung sekian lama dan kini bakal diadakan bagi kali ke 13.

Pilihan raya adalah suatu wadah dalam melaksanakan kebebasan membuat pilihan menerusi proses sistem pemerintahan demokrasi.

Kebebasan bukan bermakna untuk menukar sesuka hati mengikut selera, tetapi kebebasan juga bermakna untuk mengekalkan yang sedia ada, memberi mandat semula kepada kerajaan sedia ada, yang telah menunjukkan prestasi yang baik untuk kesejahteraan rakyat.

Melalui pilihan raya juga rakyat dapat memilih tokoh atau parti politik yang telah terbukti kewibawaannya, yang mereka percaya dapat meneruskan kemajuan dan transfromasi sejajar dengan kerangka program pembangunan negara yang telah sekian lama dibuat.

Kita tidak boleh menafikan pilihanraya umum atau negeri di negara kita dikendalikan oleh sebuah Suruhanjaya Pilihanraya – satu badan bebas yang diakui kewibawaannya.

Malah ada sesetengah negeri di menangi parti pembangkang yang membawa makna bahawa perjalanan pilihanraya di negara kita berjalan dengan telus adil dan saksama: menolak sama sekali tuduhan pihak tertentu yang mempertikaikan kewibawaan proses pilihanraya di negara ini.

Antara fungsi, tugas dan tanggungjawab suruhanjaya ini ialah mengendali, mengawasi, memantau dan memastikan setiap pilihanraya berjalan dengan sempurna, aman, lancar tanpa sebarang kejadian yang melanggar undang-undang.

Kewibawaan suruhanjaya ini sudah terbukti dan diakui dunia sejak ia mengendalikan pilihanraya pertama di negara ini pada tahun 1952.

Janganlah hendaknya ada usaha untuk membuat huru-hara di masa pilihanraya umum negara kita yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Biarlah proses pilihanraya berjalan dengan baik mengikut lunas dan peraturan yang telah ditetapkan.

Janganlah hendaknya ada campur tangan pihak asing yang disokong oleh pihak tertentu untuk menghancurkan kerajaan dan negara yang telah terbukti membawa keamanan dan kesejahteraan untuk rakyat.

Sebagai rakyat yang sentiasa cintakan keamanan dan perpaduan sudah tentu kita mahu pilihanraya bebas dari sebarang gejala negatif.

Sama ada penyokong kerajaan mahu pun pembangkang, janganlah menjadikan pilihanraya sebagai medan untuk berseteru dan berkelahi sesama sendiri.

Marilah kita meningkatkan semangat perpaduan dan kasih sayang sesama kita, tanpa meletakkan perbezaan fahaman politik sebagai penghalang kemesraan dan persaudaraan.

Kita yakin dengan kemampuan pihak polis atau pasukan keselamatan kita bagi memastikan perjalanan pilihanraya tidak dicemari dengan insiden-insiden jenayah atau yang boleh menggugat ketenteraman awam.

Namun begitu peranan semua pihak juga adalah penting untuk memberi kerjasama bagi mencegah dari berlaku huru-hara dan suasana yang mengancam keselamatan.

Biarlah proses pilihanraya dapat berjalan dalam suasana yang aman damai tanpa mengganggu rutin kehidupan seharian masyarakat.

Dengan cara inilah kita akan dapat meneruskan perjalanan hidup dan berusaha membentuk sebuah masyarakat yang maju, harmonis dan bersatu dalam melangkah ke alaf baru yang semakin mencabar.

Hargailah keamanan dan kesejahteraan negara yang kita sedang nikmati sekarang ini.

Nilai sebuah keamanan ini amatlah tinggi dan tidak boleh diperjudikan sama sekali dengan perasaan ingin mencuba dan sebagainya.

Keamanan dan kesejahteraan ini bukan datang dengan begitu sahaja, melainkan adalah hasil usaha bersama kita semua dan kebijaksanaan pemerintah dalam mengurustadbir negara ini.