Halaman

16 March 2013

Saman Utusan, TV3 contoh kebebasan media PR?

Oleh FAUZI MOHD 

Apabila cerita penglibatan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan pencerobohan tentera Sulu menjadi heboh, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sekali lagi ‘menembak si pembawa berita’, tanpa menyentuh sedikit pun tentang sumber asal berita tersebut.

Seperti biasa, media perdana iaitu Utusan Malaysia dan TV3 menjadi ‘mangsa’ untuk disaman Anwar walaupun mereka hanyalah pembawa atau penyampai berita yang dipetik dari agensi antarabangsa iaitu Reuters dan juga media Filipina, Manila Times.

Malah, berita yang sama turut dipetik oleh Portal berita Filipina, Inquirer News yang mendedahkan seorang pemimpin utama pakatan pembangkang di Sabah yang rapat dengan Anwar telah mengadakan pertemuan pada November tahun lalu dengan pihak penceroboh dan menawarkan jaminan sokongan terhadap tuntutan kumpulan terbabit di Sabah yang membawa kepada pencerobohan di Lahad Datu.

Namun, seperti juga kes kenyataan Anwar di dalam agensi berita mengenai sokongannya terhadap Israel dan juga kritikannya terhadap undang-undang mengharamkan homoseksual, Anwar memilih untuk menembak si pengirim berita bukannya sumber asal berita.

Tidak sukar untuk meneka kenapa Anwar enggan menyaman Reuters mahupun Manila Post kerana Anwar hanyalah jaguh kampung yang tidak berani dengan orang luar, tetapi hanya berani dengan bangsa sendiri. Lebih penting lagi,

Anwar juga tidak berani menyaman sumber asal kerana sumber tersebut pastinya berasaskan kepada kebenaran.

Hakikatnya, Manila Times bukan menuduh secara rambang tetapi menamakan pihak perisikan Filipina sebagai pemberi maklumat mengenai penglibatan Anwar, malah koresponden mereka juga dinamakan dengan jelas iaitu Al Jacinto.

Justeru, bukankah lebih mudah dan masuk akal untuk Anwar membersihkan namanya dengan menyaman Manila Times sahaja, jika beliau benar-benar tidak terlibat?

 Buat apa disaman Utusan atau TV3 jika hujah pembelaan mereka nanti pasti berkisar kepada ‘memetik sumber asing’?

Hujah sebegini tidak akan mampu menafikan berita tersebut sebagai benar dan tidak mampu menghapuskan keraguan terhadap Anwar.

Mungkin Anwar tidak begitu berminat untuk membersihkan namanya kerana sudah cukup ‘masak’ dengan penyokong-penyokongnya yang tidak akan percaya apa saja keburukan yang dikaitkan dengannya.

Selama ini pun, Anwar tidak perlu bersusah payah membersihkan namanya dari apa jua skandal kerana penyokongnya sendiri akan menafikan segala-galanya bagi pihaknya.

 Justeru, Anwar merasakan tidak perlu menyaman Reuters dan Manila Times tetapi hanya perlu bersandiwara menyaman Utusan dan TV3.

Seperti yang disebut di atas, tidak sukar untuk membaca strategi Anwar, hanya orang-orang yang buta tuli sahaja yang tidak mampu membacanya.

Dengan menyaman Utusan dan TV3, adakah pemimpin Pakatan Rakyat mahu menonjolkan cara kebebasan media yang betul dengan tindakan sedemikian?