29 Mac 2013

SKM Terengganu sumbang lima peratus KDNK

Oleh: Aida Abd Rahman

Suruhanjaya Koperasi Malaysia Terengganu (SKM) mencatat perolehan RM300 juta sepanjang tahun lalu yang menyumbang sebanyak lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera, berkata perolehan itu dijana melalui urus niaga membabitkan 523 koperasi berdaftar seluruh negeri dengan sebahagian besarnya terbabit dalam perniagaan kecil dan sederhana.


Beliau berkata, angka itu satu jumlah besar sekaligus membuktikan penubuhan koperasi memainkan peranan penting menyumbang kepada ekonomi negara dan negeri.

 "Jumlah perolehan yang dicatat tahun lalu agak baik, sekaligus menyumbang lima peratus kepada KDNK negeri. Sehingga tahun lalu, jumlah ahli koperasi yang mendaftar seramai 236,000 orang dengan modal syer dan yuran sebanyak RM197 juta, manakala aset pula RM407 juta.

"Tahun ini kita sasar untuk menubuhkan sehingga 600 koperasi yang pastinya akan meningkatkan pulangan dan memberi impak positif kepada ekonomi negeri," katanya selepas merasmikan penutupan Seminar Sinergi Transformasi Koperasi Wilayah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Sektor Pembangunan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Muhamad Jaafar Muhayat dan Pengarah SKM Terengganu, Haji Wan Muhamad Sabri Wan Harun.

Dato’ Mohamed berkata, pihaknya turut mensasarkan peningkatan sumbangan koperasi sehingga 10 peratus kepada KDNK negeri menjelang 2020 menerusi tumpuan kepada empat sektor utama yang dilihat mempunyai potensi besar untuk diteroka.

 "Sektor itu termasuk bidang pertanian dan pemakanan, keusahawanan minyak dan gas, hospitaliti dan perhotelan serta kewangan seperti pajak gadai Islam (Ar Rahnu) yang semakin mendapat sambutan berbanding pinjaman konvensional serta mencatat keuntungan tinggi," katanya.

Beliau berkata, semua bidang itu dikenalpasti mampu menjana pulangan lumayan dan setiap koperasi perlu merebut peluang yang ada sekiranya mahu maju serta menghasilkan dividen lebih tinggi kepada setiap ahli. 

"Setakat ini hanya 18 daripada jumlah keseluruhan koperasi negeri ini yang mencatat keuntungan lebih RM1 juta dan lapan koperasi lagi lebih RM5 juta. Selebihnya pula hanya menjalankan urusniaga sekitar RM300,000 hingga RM500,000 setahun," katanya.


Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...