Halaman

26 March 2013

Tiba masanya Marang kembali ke pangkuan BN : MB

Oleh: Aida Abd Rahman

DATO' SERI HAJI AHMAD SAID
Akhirnya tiba masa yang paling tepat untuk penduduk di Marang mengembalikan semula Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang dan Bukit Payong ke pangkuan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.

 “Kehadiran Tan Sri (Muhyiddin Mohd Yassin) ke Marang pada petang ini membawa harapan baru bahawa Marang akan berubah wajah. Marang perlu berubah dan pastikan pada PRU13 Parlimen Marang dan DUN yang kita tewas dikembalikan kepada Barisan Nasional .

“Cukuplah rakyat Marang selama ini menderita dijajah oleh pemimpin Pas yang tidak pernah mengambil kira, mengambil cakna mengenai pembangunan dan juga masalah yang dihadapi rakyat di Marang selama ini,” katanya ketika berucap di Himpunan Rakyat 1Malaysia Peringkat Negeri Terengganu, di Padang Bola Rhu Rendang, Marang, baru-baru ini. 

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin menyempurnakan majlis pelancaran program itu.

Turut hadir, isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Seri Norainee Abdul Rahman dan isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua DUN, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Marang, Dato’ Yahya Khatib Mohamad, Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku dan Ahli Parlimen serta Ketua Umno Bahagian seluruh Terengganu.

Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri berkata, semua rakyat di Marang diingatkan bahawa mereka tiada pilihan lain, melainkan mengundi BN pada PRU13 ini bagi memastikan mereka tidak lagi tersilap percaturan dengan memilih parti yang gagal membela kebajikan dan nasib mereka sepanjang diberi mandat untuk menerajui kawasan masing-masing.

 “Saya ingin melihat Marang akan terus membangun dan tidak ketinggalan dalam arus kemodenan berbanding Bahagian dan juga Parlimen lain di seluruh Terengganu.

“Sebab itulah saya seringkali menyebut kepada semua pengundi Marang, termasuk di Rhu Rendang yang diwakili Pegawai Pembangunan DUN, Haji Nik Dir yang sentiasa menjaga kebajikan penduduk setempatnya, di mana sekarang Kerajaan BN sudah membina 334 unit rumah rakyat di Rhu Rendang dan berjanji sekiranya Rhu Rendang kembali ke pangkuan BN pada PRU13 nanti, 1,000 unit rumah lagi akan dibina tahun depan,” katanya.

Selain itu, tambah beliau lagi, kerajaan kerajaan negeri juga berjanji untuk membina 500 unit rumah rakyat di DUN Bukit Payong, selain membina Sekolah Imtiaz keenam dan Kolej Matrikulasi di Marang sekiranya BN kembali berkuasa di Parlimen dan DUN itu.

Katanya, Kerajaan BN tidak sekadar berjanji sebaliknya akan mengotakan janji berkenaan dan tidak sesekali akan membiarkan rakyat hidup tanpa pembelaan seperti mana yang dilakukan pembangkang sepanjang mentadbir Marang.