Halaman

21 March 2013

TPM ke Terengganu esok

Oleh: Suriati Ali

 Rakyat Terengganu, khususnya penduduk di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terlibat secara langsung dengan pelbagai program sambutan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sudah tidak sabar menunggu kehadiran pemimpin nombor dua negara itu, esok (Jumaat).

Lebih 40,000 penduduk terlibat secara langsung dalam pelbagai program yang diatur sempena Lawatan Kerja Sehari YAB Timbalan Perdana Menteri bersama isteri Puan Seri Norainee Abd Rahman di negeri ini.

Beliau dan isteri akan menaiki pesawat khas dari TUDM Subang dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, kira-kira jam 12.30 tengahari.


Timbalan Perdana Menteri dan rombongan dijadualkan menunaikan solat Jumaat dan solat hajat untuk anggota keselamatan Malaysia di Masjid Kampung Petai Bubus, Kuala Terengganu sebelum hadir Majlis Jamuan Bersama Rakyat.

 Selesai majlis itu, beliau akan melawat seorang pesakit strok yang juga warga emas, Tuan Kamariah Tuang Dalang yang tinggal di kampung sama.

Pada sebelah petang pula, Tan Sri Muhyiddin akan hadir pada Himpunan Rakyat 1Malaysia yang diadakan di padang bola Rhu Rendang, Marang, kira-kira jam 3 petang.

 Kira-kira 20,000 orang dijangka hadir di majlis itu, termasuk Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Seri Haji Mazlan Ngah; ketua-ketua parti komponen Barisan Nasional dan pemimpin negeri.