Halaman

05 March 2013

UniSZA sasar 200 pelajar antarabangsa 2015

Oleh: Aida Abd Rahman

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mensasarkan 200 pelajar antarabangsa bakal mengikuti pelbagai bidang pengajian di peringkat diploma, ijazah serta pascasiswazah yang ditawarkan Institusi Pengajian Tinggi Awam itu dalam tempoh dua tahun akan datang.

Naib Canselornya, Prof Dr Yahaya Ibrahim (gambar), berkata pihaknya giat mengadakan Memorandum Persefahaman (MoU) dan promosi secara intensif di pelbagai universiti luar negara bagi menarik penyertaan pelajar asing khususnya dari rantau Asean ke pusat pengajian itu.

“Dalam usaha mengembangkan kolaborasi UniSZA dengan universiti di peringkat antarabangsa, UniSZA menandatangani MoU dengan Universiti Islam Sharif Ali (Unisa), di Bandar Seri Begawan, Brunei, baru-baru ini sebelum mengadakan kunjungan susulan ke universiti berkenaan pada 25 Februari lalu.

 “Dalam MoU itu, UniSZA- Unisa akan menjalinkan beberapa program kerjasama termasuk pertukaran tenaga pengajar dan pelajar serta program bersangkutan antara kedua-dua universiti, selain program melanjutkan pengajian peringkat ijazah tinggi di antara kedua-dua universiti , terutama dalam usaha UniSZA menarik kemasukan pelajar antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam sempena Fiesta UniSZA-Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) di Riyaz Heritage Resort & Spa, Pulau Duyong, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama, Presiden Kawat, Encik Ayob Mamat.

Sehingga kini, seramai 60 pelajar antarabangsa mengikuti pelbagai bidang yang ditawarkan di UniSZA.
Dalam perkembangan yang sama, Prof Dr Yahaya berkata, seramai 20 pelajar Unisa sudah menghantar borang permohonan untuk melanjutkan pengajian di UniSZA selepas usaha promosi yang dilaksanakan pihaknya di Brunei, baru-baru ini.

Katanya, UniSZA menjangkakan lebih ramai lagi pelajar Unisa akan menyerahkan borang permohonan untuk mengikut pelbagai bidang pengajian yang diminati khususnya di bawah Fakulti Pengajian Kotemporari Islam dan Fakulti Pengurusan Perniagaan seperti Pengurusan Islam, Perbankan Islam, Kewangan Islam dan juga Perakaunan.

 “Borang sudah diproses pada dasar kita telah menerima mereka dengan tawaran dan kelulusan bersyarat bagi kemasukan semester baru pada September ini. Selain dari Brunei, pelajar baru berkenaan juga dari Aceh dan Riau, Indonesia.

 “Kita juga akan meneruskan program untuk menarik pelajar Indonesia kerana pasaran pelajarnya cukup besar berikutan jumlah rakyatnya yang mencecah 250 juta orang. Jadi jika kita dapat menarik kemasukan sebahagian kecil daripada pelajar mereka, bilangannya sudah cukup besar kepada UniSZA sebagai universiti yang kecil,” katanya.

Susulan itu juga, Prof Dr Yahaya berkata pihaknya juga bakal menerima kemasukan 30 pelajar dari Aceh menerusi MoU dengan beberapa universiti di negeri jiran itu.

Katanya, UniSZA juga akan mengadakan promosi ke Riau yang akan diikuti dengan satu lawatan balas dari Dinas Pendidikan Riau ke UniSZA tidak lama lagi.

“ Mereka berjanji untuk akan menghantar seramai mungkin pelajar bagi menyambung pengajian terutama di peringkat pascasiswazah Fakulti Pengurusan dan Pengajian Kotemporari Islam UniSZA.

“ Kita juga akan ke daerah lain seperti Palembang dan juga Sulawesi bagi menjalankan kerjasama dua hala dan mempromosikan UniSZA kepada pelajar di daerah itu," tambahnya.

Beliau yakin keunikan dan keistimewaan pelbagai bidang yang mengandungi input Islam yang ditawarkan di UniSZA mampu menarik pelajar antarabangsa untuk mengikuti pengajian di universiti itu.