Halaman

18 March 2013

Wanita berupaya corak lanskap ekonomi, sosial dan politik

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan yakin terhadap peranan wanita dalam variasi tugas di sisi keluarga dan masyarakat berupaya mencorakkan lanskap ekonomi, sosial dan politik negara.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad, berkata golongan wanita mengalas tugas sebagai isteri, ibu, pekerja, pemimpin dan anggota masyarakat di luar institusi keluarga.

“Kehebatan wanita dalam multi-tasking dan multi-skiling membentuk satu tenaga penggerak yang seharusnya digembleng untuk mencapai hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara yang mana rakyatnya maju, progresif, hidup aman dan sejahtera .

 “Pada masa yang sama wanita juga memainkan peranan bagi memastikan hasrat dan cita negara untuk meraikan kepelbagaian budaya, bangsa dan agama, selain mendukung Gagasan 1Malaysia,” katanya . katanya ketika berucap di program 1Million Women Purple Walk 2013, di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar,Ddato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Selain itu, lebih 30,000 wanita dari pelbagai agensi dan persatuan di seluruh Terengganu menyemarakkan acara berjalan kaki yang bermula dari Taman Awam Batu Buruk ke Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu yang melibatkan jarak kira-kira dua kilometer.

 Dato’ Yahya berkata, suara wanita berupaya mewujudkan perspektif dan dimensi perpaduan yang jitu berikutan prinsip moral wanita berkait rapat dengan penekanan kepada hubungan kasih sayang yang didominasi oleh nilai kelembutan.

 “Oleh itu, golongan wanita selalunya lebih berhati-hati dalam membuat keputusan bagi memastikan keputusan yang dilaksanakan tidak memberi impak negatif kepada anggota keluarga dan memahami antara satu sama lain, sekaligus mewujudkan persefahaman dan persepakatan.

“Pemikiran wanita yang sedemikian memberi isyarat bahawa golongan hawa mampu memberi harapan baik ke arah membentuk perpaduan yang berkekalan,” katanya.

Sebelum itu, Dato’ Yahya berkata sejajar dengan program 1Million Women Purple Walk, penglibatan lebih 30,000 wanita seluruh Terengganu membuktikan golongan itu benar-benar menzahirkan aspirasi dan hasrat yang didasari oleh kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat khasnya.