Halaman

06 April 2013

BN gerak jentera lebih agresif

Oleh; Esah Abdullah

Biro Penerangan Badan Perhubungan UMNO Terengganu mula mengatur siri ceramah bagi menerangkan isu-isu semasa secara lebih agresif sebaik memasuki tempoh berkempen minggu depan.

Pengerusinya, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, semua bahan kempen akan digunakan termasuk ceramah, media cyber dan sebagainya melalui petugas parti yang dilantik.

“Kita telah menyusun jadual beserta dengan penceramah untuk turun ke setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), Bahagian-bahagian hingga ke Pusat-pusat Daerah Mengundi (PDM) seluruh negeri,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri..

Katanya, jentera Barisan Nasional (BN) sudah lama mengadakan program penerangan kepada rakyat seluruh negeri tetapi selepas penamaan calon ia akan bertugas sepenuh masa.

 “Semua gerak kerja ini akan berterusan hingga ke tarikh tamat tempoh berkempen, bagi memastikan BN menang besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis Penyampaian Bantuan Pentadbiran 24 buah Surau dalam DUN Seberang Takir dan Perjumpaan dengan Qariah Solat Jenazah di Pejabat Penyelaras UMNO Seberang Takir di Telaga Daing petang semalam.

Selain itu katanya, majlis penerangan juga akan diadakan disetiap bahagian seluruh negeri untuk mengupas tentang manifesto BN yang akan dilancarkan pada Sabtu depan.

“Sebaik saja manifesto dilancarkan diperingkat Pusat kita akan turun padang untuk beri penerangan mengenai manifesto Pusat dan juga negeri supaya rakyat lebih jelas mengenai agenda kerajaan tradisi membela rakyat,” katanya.