Halaman

07 April 2013

BN menang, RM1000 untuk pasangan muda pertama kali berkahwin

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri akan melancarkan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) di bawah portfolio Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan wanita negeri berdasarkan kemampuan bukan sesuka hati kata pengerusinya, Dato’ Yahya Khatib Mohamad.

Menurut beliau, berdasarkan manifesto yang dirancang, bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas serta dana hari raya akan dinaikkan sesuai dengan kemampuan kewangan kerajaan dan keadaan semasa.

"Kerajaan Barisan Nasional (BN) rangka manifesto berdasarkan kemampuan seperti kata pepatah ‘ukur baju di badan sendiri’ dan bukannya seperti pembangkang yang janji bermacam-macam tapi belum tentu dapat tunaikan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Peyampaian Wang Dana Pendahuluan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd.

Tambah Dato’ Yahya, antara cadangan di bawah portfolio yang dipegangnya juga, sekiranya BN terus mendapat mandat untuk memerintah Terengganu selepas PRU13 nanti, pasangan muda yang pertama kali berkahwin akan diberikan wang bantuan sebanyak RM1000 dan RM500 akan diberikan kepada mereka yang melahirkan anak pertama.

Katanya, itu antara kandungan manifesto tambahan BN Terengganu yang akan diumumkan Pengerusi BN negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dalam masa terdekat bagi menghadapi PRU13.