Halaman

04 April 2013

DUN Terengganu dibubar secara rasmi berkuatkuasa semalam

Dato’ Tengku Putera menyerahkan notis pembubaran DUN Terengganu kepada Pengarah  SPR bagi meneruskan urusan proses PRU13.
Oleh: Aida Abd Rahman

 Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-12 dibubarkan secara rasmi berkuatkuasa semalam, (3 April) selepas Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, di Istana Badariah, Kuala Terengganu, jam 8 malam tadi.

Sehubungan itu, bermula hari ini 32 kerusi DUN seluruh negeri terbubar secara automatik dan kosong selepas watikah pembubaran itu mendapat perkenan baginda.

Yang Dipertua DUN, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, berkata pembubaran itu dilaksanakan bagi membolehkan proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

 “Jadi, pada hari ini saya mengistiharkan Dewan Undangan Terengganu ke-12 terbubar dengan sendirinya dan memberi laluan kepada untuk SPR mengadakan Pilihan Raya Umum di peringkat Dewan Undangan Negeri Terengganu dengan Persekutuan sebagaimana Perlembagaan.

 “Duli Yang Maha Mulia Tuanku (Sultan Mizan) membubarkan DUN ini berdasarkan kepada Peruntukan 44 (2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Terengganu Darul Iman,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

 Hadir sama, Pengarah SPR Terengganu, Encik Fakhrul Razi Ab Wahab dan Setiausaha DUN negeri, Haji Azhar Jusoh.

 Susulan itu, Dato’ Tengku Putera menyerahkan notis pembubaran DUN Terengganu kepada Pengarah SPR bagi meneruskan urusan proses PRU13.