Halaman

17 April 2013

Jangan ada gunting dalam lipatan- Dato’ Seri Haji Ahmad

Oleh; Esah Abdullah

Rakyat diingatkan supaya jangan ikut emosi  sebaliknya bertindaklah atas dasar pertimbangan yang rasional supaya tidak menyesal dikemudian hari.

Pengerusi Barisan Nasional Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, semua calon bertanding telah diputuskan oleh presiden parti dan terimalah dengan hati terbuka.

“Calon boleh bertukar ganti tetapi parti tetap satu iaitu BN, ibarat sebuah kereta yang bagus hanya pemandu saja yang bertukar tapi kereta tetap sama,” katanya kepada pemberita di majlis Sambutan Hari Kualiti Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) 2013 di Stadium Negeri Kuala Terengganu hari ini.

 Hadir sama, Datuk Bandar MBKT, Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang dan Setiausaha MBKT Haji Samiun Salleh serta 963 kakitangan MBKT.

Katanya, rakyat perlu faham calon hanya bertindak sebagai jentera parti untuk mengerak dan menjalankan pembangunan yang dirancang oleh kerajaan memerintah untuk kesejahteraan rakyat.

Menteri Besar itu juga berharap semua rakyat kembali kepada perjuangan asal untuk menangkan parti BN dan bukan untuk kemenangan individu tertentu.

 “Saya harap semua penjawat awam dan warga kerja MBKT menghormati kerajaan yang memerintah serta jaga peradaban sebagai seorang yang makan gaji dengan kerajaan.

“Moga tidak ada gunting dalam lipatan dan tidak wujud api dalam sekam. Jangan sekali-kali rosakkan imej jabatan semata-mata kerana sikap kita yang tidak profesional,” katanya.

Ketika diminta mengulas terdapatnya segelintir masyarakat yang memprotes calon dan bertindak menutup bilik gerakan dibeberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) malam semalam, beliau yakin perkara itu tidak akan berpanjangan dan akan diselesaikan secara baik.

 “Itu perkara biasa selepas nama calon diumumkan dan ia berlaku setiap musim pilihan raya, saya harap mereka yang sayangkan parti perlu bersatu dan kukuhkan barisan, undilah BN dalam PRU pada 5 Mei ini,” katanya.



Dato’ Seri Haji Ahmad kemudiannya menyampaikan Anugerah Pekhidmatan Cemerlang (APC) MBKT 2012 kepada 84 orang kakitangan pelbagai peringkat, 27 orang kakitangan lama berkhidmat serta 10 kakitangan yang bersara.



Penerima APC menerima wang tunai RM1,000, jam tangan serta sijil penghargaan manakala kakitangan lama berkhidmat menerima pakej percutian ke Pulau Langkawi, jam tangan, sijil penghargaan dan pesara menerima sijil simpanan premium bernilai RM500, wang tunai RM200, jam tangan dan sijil.