Halaman

12 April 2013

Jika benar, jangan dedah aib orang lain : MB


Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said enggan mengulas lanjut berhubung penyebaran video lucah ketika ditanya mengenai penyebaran video yang melibatkan pemimpin pembangkang yang sedang tersebar meluas di laman blog sejak semalam itu.

 "Saya tak berani komen sebab tak tengok lagi. Saya belum ditunjukkan video itu. Perkara sebegini saya tak berani komen sebab tak mahu memfitnah orang lain. Itu bukan prinsip saya. Kalau dah disahkan betul, baru kita boleh cakap, saya tak berani buat spekulasi.

“Bagi kita orang Islam fitnah itu lebih dashyat dari membunuh. Betul atau tidak betul kita sahkan dulu. Lagipun jika benar, tak elok kita mendedahkan rahsia peribadi dan aib orang. Bagaimana hebatnya Tun Mahathir Mohamad, apabila ditanya mengenai surat 18 muka (daripada Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, kini Presiden PKR), beliau kata 'tidak perlu' (dedahkan), walaupun sebenarnya beliau tahu apa yang berlaku," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sepakat Komuniti 1Malaysia Peringkat Daerah Kuala Terengganu di Padang Hampar, Manir, hari ini.

Sementara itu, Polis Terengganu sedang mengesan individu yang memiliki dan mengedar cakera video digital (DVD) lucah dipercayai membabitkan seorang individu mirip pemimpin kanan sebuah parti pembangkang di Besut, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan, berkata setakat ini tiada tangkapan dibuat dan pihaknya hanya menerima satu laporan daripada orang awam yang menerima DVD lucah berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya meminta orang awam termasuk di daerah lain membuat laporan polis sekiranya menerima DVD sama, bagi membantu siasatan.

"Setakat ini belum ada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah.

"DVD berkenaan mula diedarkan sejak pagi kelmarin di kawasan Perumahan Lorong Sekolah dan Lorong Hidayat, Kampung Alor Lintang, Besut oleh individu tertentu di kawasan berkenaan dengan meletakkannya di hadapan pagar rumah penduduk.

"Namun hingga petang ini (semalam) polis hanya merampas 16 keping DVD berkenaan yang diedarkan ke rumah penduduk dan kita sedang mengesan dalang yang bertanggungjawab mengedarkan DVD ini," katanya.

Sebelum itu, laporan akhbar semalam melaporkan, polis merampas 16 keping DVD lucah dipercayai membabitkan seorang pemimpin kanan sebuah parti pembangkang di kawasan Perumahan Lorong Sekolah dan Lorong Hidayat, Kampung Alor Lintang, Besut,semalam.