Halaman

23 April 2013

Kerja keras pertahan BN – Cikgu Lan

Oleh; Esah Abdullah

Barisan Nasional (BN) merupakan parti keramat yang perlu dipertahankan bagi terus menerajui negara untuk mengekal keharmonian dan kedaulatan bangsa dan agama.

Calon BN kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Encik Bazlan Abd Rahman, 49, atau dikenali dengan panggilan Cikgu Lan berazam untuk pertahankan kawasan yang diwakili demi kesejahteraan umat seluruhnya.

“Saya akan bekerja keras bagi meneruskan kesinambungan kepimpinan terdahulu terutama meningkatkan taraf kehidupan golongan petani, nelayan dan penternak khususnya dalam kawasan saya,” katanya kepada Teganukita.

Beliau yang berasal di Kampung Pengkaan Atap Batu Rakit itu sebelum ini bertugas sebagai pendidik di Sekolah Kebangsaan Pagar Besi, Batu Rakit, memegang beberapa jawatan penting dalam Umno sejak 1990 iaitu sebagai Ketua Pemuda Umno Cawangan Padang Polis. Diikuti Bendahari Penyelaras Pemuda DUN (1992-1995), Setiausaha Pemuda DUN (1995-2000),

Pengerusi Penyelaras Pemuda DUN dan Penolong Setiausaha Pemuda Umno bahagian Setiu (2000-2008), Antara jawatan dalam parti yang dipegang bermula 2008 hingga sekarang ialah Penolong Setiausaha Umno Bahagian Setiu, Pengerusi Biro Keahlian dan Daftar Pemilih bahagian, Setiausaha Biro Penerangan bahagian,

Pengerusi Bilik Gerakan Parlimen dan Pengerusi Pusat daerah Mengundi (PDM) DUN. Encik Bazlan mendirikan rumah tangga bersama Siti Zaimah Mahmod, 47 dan dikurnia sepasang cahaya mata Muhammad Jamaluddin, 24 dan Siti Nur Adila,14.

 Beliau berkelulusan Sijil Perguruan (1987) kemudian mengikuti Kursus Ijazah Sarjana Pengajaran (Pendidikan Rendah) dengan kepujian (2011).

 “Jadual harian saya kini padat dengan turun padang berjumpa pengundi di kampung-kampung untuk menyampaikan hasrat pucuk pimpinan parti mendapat mandate besar bagi meneruskan tradisi membela rakyat,” katanya.