Halaman

10 April 2013

Kuala Nerus membangun di bawah BN

Oleh: Noraini Jusoh

Salah satu kandungan manifesto Barisan Nasional (BN) Terengganu yang akan diumumkan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dalam masa terdekat diharap ada kaitan dengan daerah baru Kuala Nerus dan membawa khabar gembira kepada penduduk daerah ini, kata Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri.

Menurut beliau, setakat ini usaha untuk merealisasikan kewujudan daerah baru itu sedang dalam pelaksanaan dan kerja-kerja infrastruktur dijangka siap pada tahun ini.

"Kerja-kerja perparitan telah dibuat dan dijangka siap bulan Jun nanti manakala kerja-kerja tapak dalam perbincangan dengan pihak yang berkaitan.

"Pada tahun 2014, bangunan-bangunan pejabat akan mula dibina dan jabatan-jabatan kerajaan akan dibangunkan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun,” ujarnya.

Belia berkata demikian pada sidang media Karnival Astro Fiesta Mesra Belia 1Malaysia 2013 Peringkat Parlimen Kuala Nerus di Pejabat Parlimen Kuala Nerus, semalam.

Tambah beliau, apabila daerah baru Kuala Nerus dibuka secara rasmi, pada peringkat awal mana-mana anak tempatan yang bekerja di luar dan ingin pulang berkhidmat di Kuala Nerus akan dipertimbangkan.

"Daerah baru ini juga akan membuka banyak peluang kepada mereka yang belum bekerja dan sedang mencari pekerjaan,” katanya.

Katanya, Kuala Nerus mempunyai banyak tarikan antaranya Pulau Duyong, Bukit Jong, Jeram Tokong serta Keropok Lekor Bukit Tok Beng.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) katanya, beliau yakin Kerajaan BN bakal menawan kembali satu-satunya Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bukit Tunggal yang kini di bawah pembangkang.

"Saya yakin, dengan segala program dan pembangunan yang kerajaan buat di kawasan tersebut, BN boleh menang di Bukit Tunggal dan kembali menjadi milik Kerajaan BN dan Umno selepas PRU13 nanti,” katanya.