Halaman

16 April 2013

Manifesto BN beri manfaat untuk semua lapisan

Oleh; Esah Abdullah

Barisan Nasional (BN) Terengganu membentang aku janji atau manifesto yang mantap, menyeluruh dan memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat sekaligus menjanjikan kesejahteraan di bawah barisan kepimpinan yang berjiwa rakyat.

Ketua Pergerakan Wanita Umno Perhubungan Negeri Terengganu, Datuk Hajah Fatimah Hamat berkata, rakyat perlu memberi sokongan penuh kepada BN bagi merealisasikan apa yang tercatat dalam aku janji yang terbukti mementingkan kesejahteraan dan peningkatan pembangunan dalam semua bidang.

Katanya, 18 aku janji tambahan merupakan ikrar BN untuk memakmurkan rakyat dan akan ditunaikan apabila mendapat mandat selepas Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.

 “Usaha kerajaan menjadikan negeri ini sebagai hub urusan Haji dan Umrah bagi Pantai Timur merupakan perkara baru yang tidak terdapat di negeri lain dalam negara ini dan ia begitu membanggakan seluruh rakyat,” katanya kepada Teganukita ketika di temui di majlis Aku Janji Tambahan BN Terengganu di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man malam tadi.

“Saya percaya masyarakat bijak menilai yang mana intan dan yang mana kaca serta memberi sokongan terhadap usaha murni kerajaan memberi peluang kepada rakyat untuk mengambil penerbangan terus ke Jedah bagi menunaikan haji atau umrah,” katanya yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Hulu Terengganu.

Selain itu, langkah kerajaan menjadikan Tasik Kenyir sebagai hub eko-pelancongan serta kawasan bebas cukai menjelang 2014 dijangka mendapat tumpuan pelancong luar negara dan rakyat tempatan untuk berbelanja secara berhemah.

“Saya harap rakyat di negeri ini memberi sokongan penuh kepada BN untuk membuktikan aku janji yang dibuat dan semua lapisan masyarakat mendapat manfaat pendidikan dan pembangunan yang dirancang,” katanya.