Halaman

15 April 2013

Masa untuk balas jasa parti, jika tidak tercalon

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengingatkan semua wakil rakyat dan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini supaya menerima hakikat itu dan terus bekerja membantu jentera parti bagi memenangkan BN.

“Apa yang penting adalah kekuatan diri, menentukan bahawa kita sedar dan bersyukur dengan peluang yang telah diberikan selama ini. Hari ini (PRU13) peluang itu diperolehi orang lain serta kita sepatutnya membalas jasa baik parti yang selama ini memberi peluang kepada kita menjadi wakil rakyat dan yang berhormat.

“Sampai giliran orang, kita sokonglah orang itu. Macam dahululah, kita minta rakyat sokong kita, hari ini orang minta sokongan , tak kan kita tidak mahu beri sokongan. Tidak bolehlah begitu kerana hidup ibarat roda ada naik dan ada turun. Sebagai seorang Islam kita mesti menerima takdir dan ketentuan Allah s.w.t,” katanya kepada pemberita sempena Program Sepakat Komuniti 1Malaysia di Padang Perumahan Awam Kos Rendah Batu Hampar, Manir, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Norliza Mahmud; Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Dato’ Ibrahim Abdul Rahman; Pengarah Penerangan negeri, Puan Azizah Awang dan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri, Encik Yusof Awang Hitam.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, sebagai seorang pemimpin yang pernah mendapat tempat bertanding pada pilihan raya lalu dan tidak mendapat peluang itu kali ini, pastinya tidak terlepas dari perasaan kecewa.

 “Tetapi kita perlu sedar itulah politik. Akan ada perkara yang tidak diduga berlaku dan yang tidak mungkin berlaku akan berlaku. Jika dulu kita tidak menduga menjadi calon, tidak menduga nama kita digugurkan kerana dalam politik pelbagai kemungkinan berlaku.

“Sebab itu `jika takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai’ . Kalau takut orang keji, orang hina, orang kutuk..jika begitu payahlah, sebab kita tidak boleh menutup mulut semua orang,” katanya.