Halaman

08 April 2013

Penghargaan besar, jika wanita dicalonkan : Nordiana

Oleh: Aida Abd Rahman

Satu penghargaan besar dari pucuk pimpinan parti di peringkat negeri dan Pusat jika terdapat calon wanita diketengahkan bagi mewakili Barisan Nasional (BN) di Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), kata Ketua Puteri Umno Negeri, Puan Nordiana Shafei

“Jika kepimpinan negeri dan Pusat memberi peluang kepada wanita bertanding kali ini, saya melihat itu satu pengiktirafan cukup baik kepada golongan hawa.

“Sebagaimana pengalaman ketika saya bertanding pada PRU lepas, tentangan yang diterima calon wanita memang agak sengit, bagaimanapun saya percaya sekiranya semua pihak memberi kerjasama dan sokongan padu, tidak mustahil sesiapa sahaja calon wanita BN mampu merekod sejarah untuk menang jika diberi peluang itu kelak,” katanya baru-baru ini.

Puan Nordiana yang mencipta sejarah sebagai calon wanita pertama diketengahkan BN bagi kerusi Dewan Undangan Batu Burok pada PRU12 lalu, akan memastikan seluruh pergerakan Puteri Umno  menggerakkan bantuan dan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada sesiapa sahaja calon, sama ada lelaki atau wanita bagi memastikan kemenangan berpihak kepada BN.

Katanya, pihaknya juga bersiap-siaga bagi berdepan PRU13 yang akan dijalankan pada bila-bila masa sahaja itu, khususnya sebagai jentera perayu undi yang membantu Wanita Umno serta penggerak teknologi maklumat (IT) di setiap 340 Pusat Daerah Mengundi seluruh Terengganu.