Halaman

19 April 2013

PRU13: Bersatu hati demi tebus kekalahan PRU12

Oleh: Aida Abd Rahman

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menyeru semua jentera parti di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen Kuala Terengganu bersatu hati, berpadu tenaga dan membuang rasa amarah supaya dapat menebus kembali kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) lalu.

 “Rezeki (dicalonkan) ini ditentukan oleh Allah s.w.t,. Mungkin hari ini adalah rezeki mereka yang berdiri di hadapan tuan-puan ini untuk menjadi calon. Mungkin juga esok giliran tuan-puan di hadapan saya pula untuk berdiri di sini.

“ Insya-Allah dengan semangat dan keikhlasan semua pihak dan jentera parti, kita mampu untuk mencipta kemustahilan dengan memenangi semua DUN dan Parlimen Kuala Terengganu,” katanya di Majlis Temu Mesra Calon-Calon Parlimen Kuala Terengganu dengan semua jentera pilihan raya parlimen, di Perkarangan Pejabat Umno DUN Ladang, semalam.

Hadir sama, calon Parlimen Kuala Terengganu, Haji Mohd Zubir Embong; Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah (Wakaf mempelam); Dato’ Toh Chin Yaw (Bandar); Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh (Ladang) dan Dato’ Che Mat Jusoh (Batu Buruk).

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, sekiranya semua pihak akur dan redha dengan ketentuan Allah s.w.t,, pastinya akan dapat membuang rasa tidak puas hati dan amarah serta mengikat semula hubungan persaudaraan dan bersatu demi mempertahankan maruah dan perjuangan parti.

Majlis turut dihadiri hampir 2,000 petugas jentera termasuk parti komponen dilihat sebagai petanda awal bahawa Kuala Terengganu mampu ditawan semula dari tangan Pas.

Malah, kebanyakan petugas jentera parti memberi keyakinan bahawa inilah masanya paling tepat untuk membuktikan kerja-keras dan semangat perjuangan demi agama, bangsa dan negara dapat dizahirkan dengan kejayaan mengekalkan DUN Bandar, selain merampas semula Parlimen Kuala Terengganu, DUN Ladang, Wakaf Mempelam dan Batu Buruk pada PRU13 ini.